Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
ANAK SYARIKAT FGV DIDAKWA GAGAL LANGSAI HUTANG RM4JUTA – MALAYSIA KINI – 17/4/19
18 Apr 2019

Malaysia Kini ( Anak syarikat FGV didakwa gagal langsai hutang RM4juta) 17.4.19-01

Sebuah perusahaan pembinaan, Syarikat Abu Johan Abu Backer mendakwa anak syarikat Felda Global Ventures (FGV) gagal melangsaikan baki bayaran RM4 juta yang tertangguh sejak sembilan bulan lalu selepas kontrak firmanya ditamatkan.
Menurut pengarah syarikat berkenaan, Abu Johan Aboo Backer, sekiranya gagal mendapatkan bayaran itu, pihaknya tidak menolak untuk membawa perkara itu ke mahkamah.
“Kalau ikutkan, sidang media ini dah yang terakhir. Dah banyak saluran kita dah pergi, sampai ke timbalan menteri, sampai ke parlimen.
“Mungkin ini terakhir, kita ambil masa dalam dua ke tiga minggu atau sebulan, kita akan fail di mahkamah kalau benda ini tak jalan juga,” dakwanya pada sidang media di Kondominium Vila Puteri, Kuala Lumpur.
Menurut Abu Johan, projek Perumahan Warga Felda (PWF) Chuping, Perlis itu dimiliki oleh Felda Properties Sdn Bhd, sementara dua lagi anak syarikat FGV, Felda Engineering Services Sdn Bhd dan Allience Engineering Consultancy Services Sdn Bhd pula dilantik sebagai konsultan projek.
Katanya, pihak anak syarikat FGV memberi alasan penamatan kontrak kerana kelewatan menyiapkan projek.
Bagaimanapun, Abu Johan mendakwa kelewatan itu bukanlah disebabkan oleh pihaknya sebaliknya disebabkan oleh pihak konsultan.
Jelasnya, kelulusan daripada Indah Water Konsortium (IWK) hanya diperolehi pada bulan Jun 2017, dan kelulusan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk kerja-kerja persimpangan susur keluar hanya diperoleh pada Mac 2017.
“Sepatutnya kelulusan hendaklah diperolehi sebelum kontrak bermula lagi iaitu sejak 1 Julai 2013,” kata Abu Bakar yang mendakwa kerja-kerja kelulusan menjadi tanggungjawab pihak konsultan.

Malah, dakwanya lagi, wujud konflik kepentingan antara syarikat pemilik dan konsultan iaitu Felda Properties dan Felda Engineering, apabila pengarahnya terdiri daripada orang yang sama.

“Jadi bila berjumpa bincang sesuatu, macam mana pusing pun kontraktor yang akan kena.
“Contohnya, kalau kita tak dapat arahan kerja jalan yang sepatutnya keluar daripada konsultan, atau kita tak tahu harga jalan yang menjadi tanggungjawab klien, tapi pengarahnya orang yang sama.
“Kalau ikutkan, klien memang nak cepat, tapi (contohnya) konsultan tak buat dia punya kerja, jadi kontraktor di tengah-tengah, tersangkutlah,” katanya lagi.
Berpandukan salinan pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang ditunjukkan oleh Abu Bakar, pengarah kedua-dua pengarah syarikat itu disenaraikan sebagai orang yang sama.
Jelas Abu Bakar lagi, kontraknya ditamatkan pada 9 Julai 2018, setelah syarikatnya menyiapkan 95 peratus daripada projek.
Selain itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Nadzim Johan berharap perkara tersebut mendapat perhatian sewajarnya daripada kerajaan.
Katanya, tidak guna jika pentadbiran Felda diterajui oleh orang baru, tetapi kakitangannya masih dibelenggu budaya kerja lama.
“Kerajaan baru pun tapi kakitangan lama, memang tak jadi apa. Pasal mereka berkuasa, mereka boleh buat apa mereka nak,” katanya lagi.
Malaysiakini telah menghubungi FGV berkaitan dakwaan itu dan sedang menunggu penjelasannya.
Artikel oleh : Malaysia Kini
ANAK SYARIKAT FGV DIDAKWA GAGAL LANGSAI HUTANG RM4JUTA
https://m.malaysiakini.com/news/472613