Menurut Pengarah Urusan Bank Islam, Datuk Seri Zukri Samat, anugerah itu yang pertama seumpamanya di negara ini, juga merupakan platform utama bagi PKS patuh syariah untuk menanda aras dan membangunkan jenama produk serta perkhidmatan mereka dalam menerokai bahagian pasaran yang lebih meluas.

Beliau berkata, menurut Laporan Tahunan PKS 2015/2016, industri berkenaan menyumbang sebanyak 36 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menjadi tunggak pertumbuhan dan kestabilan ekonomi negara.

Malah katanya, di dalam Bajet 2017, kerajaan telah menyatakan kepentingan PKS dengan memberikan peruntukan berjumlah RM6.7 bilion untuk menjana pertumbuhannya.

“Melalui penekanan terhadap kepentingan dan sumbangan PKS kepada ekonomi negara, Bank Islam mengorak langkah dalam memperkenalkan anugerah khusus buat PKS dari sudut patuh syariah sebagai wadah untuk me­nyumbang kepada kemajuan sistem perbankan Islam dan menunaikan tanggungjawab untuk memacu pembangunan ekonomi negara.

“Bank Islam amat berbesar hati kerana dapat menzahirkan maj­lis penganugerahan patuh syariah ini, hasil kolaborasi simbiotik pihak bank dengan akhbar arus perdana berbahasa Melayu yang ulung iaitu Utusan Malaysia, SME Corp. Malaysia, Agensi Penyelaras Pusat berhubung PKS dan Visa Malaysia.

“Pengenalan anugerah ini juga diharap akan dapat menjadi pemangkin untuk PKS supaya kekal berdaya saing dan berdaya tahan dalam menempuh keadaan ekonomi yang makin mencabar,” katanya semasa berucap pada Malam Gala Anugerah PKS Patuh Syariah Bank Islam-Utusan 2017 di sini, semalam.

Majlis itu turut dihadiri Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad; Penolong Ketua Pengarang, Datuk Mohd. Hassan Mohd. Noor; Pengerusi SME Corp., Tan Sri Ir. Dr. Mohamed Al Amin Abdul Majid; Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp., Datuk Dr. Hafsah Hashim dan Pengurus Negara Visa Malaysia, Ng Kong Boon.

Sebanyak lapan ka­tegori anugerah telah di­sampaikan pada majlis tersebut. Anugerah berkenaan menerima 48 penyertaan dan dinilai oleh panel hakim terdiri daripada profesional dan peneraju industri sejak penyertaannya ditutup pada 10 April lalu.

Antara panel hakim ialah SME Corp., Deloitte Malaysia, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Malaysia Digital Eco­nomy Corporation (MDEC).

Menurut Zukri, sebagai institusi perbankan Islam perintis, Bank Islam sentiasa memperjuangkan perbankan patuh syariah untuk semua lapisan ma-syarakat, tidak kira bangsa atau agama selaras de­ngan misi utama­nya untuk terus membangun dan memperbaharui penyelesaian kewangan yang diterima sejagat sejajar dengan prinsip syariah.

“Dalam konteks ini, penyelesaian kewangan kami merangkumi aspek yang menyeluruh dalam memperluaskan jangkauan rangkuman kewangan, maka PKS tidak terkecuali. Ianya adalah langkah sokongan Bank Islam untuk membantu merealisasikan hasrat kerajaan agar PKS menyumbang lebih 40 peratus dalam KDNK, 62 peratus daripada guna tenaga dan 25 peratus daripada jumlah eks­port sebagaimana yang dinyatakan dalam Pelan Induk PKS 2012-2020,” katanya.

20170507 - Utusan Online - Perbankkan - Anugerah Bank Islam-Utusan jadi penanda aras