Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
APM PERLU TAMBAHAN ASET BANTU OPERASI MENYELAMAT, HADAPI BENCANA – BERITA HARIAN – 28/01/2021
29 Jan 2021

JOHOR BAHRU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memerlukan penambahan aset sekurang-kurang 30 peratus bagi memudahkan gerak kerja anggota, terutama dalam operasi menyelamat dan menghadapi bencana alam di negara ini.

Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) APM, Norhafifi Ismail, menjelaskan penambahan untuk kekuatan logistik itu sangat penting.

Justeru, beliau berkata, pihaknya berharap ia diperoleh menjelang akhir tahun ini secara berfasa, terutama aset meliputi bot, trak, ambulans dan kenderaan pacuan empat roda.

Ketika ini, katanya, APM memiliki lebih 400 pengangkutan darat dan kira-kira 600 bot, selain kekuatan 5,000 anggota bagi operasi pengurusan bencana banjir.

“Aspek aset ketika banjir bersama penularan COVID-19 adalah cabaran besar kepada APM. Kerja menyelamat dilaksanakan dengan pada masa sama, perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan.

“Jika dulu, trak boleh memuatkan 30 orang pada satu-satu masa tetapi kini atas pematuhan SOP, 15 individu saja yang boleh dibawa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Misi Bantuan Pascabanjir Johor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Norhafifi berkata, APM sentiasa mengkaji perkara terbabit dan akan menyalurkan maklumat kepada kerajaan berhubung keperluan menambah aset, terutama bagi membantu kelancaran usaha menyelamat.

“Apabila berlaku banjir serentak di banyak negeri, APM terpaksa menggemblengkan aset dari negeri lain yang tidak terjejas untuk digerakkan ke lokasi berkenaan.

“Selain itu, ada aset telah uzur serta rosak, sekali gus perlu diselenggara,” katanya sambil memaklumkan ambulans milik APM turut diguna bagi membantu pengurusan pesakit COVID-19.

Sementara itu mengenai program hari ini pula, beliau berkata, ia adalah inisiatif Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dengan kerjasama APM.

Di Johor, katanya, pelaksanaan program itu membabitkan beberapa lokasi seperti Kota Tinggi, Sungai Tiram, Skudai dan Pasir Gudang.

Bermula semalam, sumbangan keseluruhan bernilai RM420,000 mula diagihkan kepada mangsa banjir di Johor, Pahang dan Kelantan secara berperingkat.

Artikel oleh: Berita Harian

APM PERLU TAMBAHAN ASET BANTU OPERASI MENYELAMAT, HADAPI BENCANA

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/01/780786/bhplus