Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
AUTA SINDIKET SAMBUNG BAYAR KENDERAAN – HARIAN METRO – 22/03/2021
23 Mar 2021

Kuala Lumpur: Menggunakan perjanjian yang tidak diiktiraf, berat sebelah dan tanpa tandatangan.

Itu modus operandi digunakan sindiket sambung dan bayar kenderaan sejak beberapa tahun lalu untuk mengaburi mata pelanggan.

Sepanjang dua tahun lalu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menerima lebih 3,000 aduan dengan nilai kerugian keseluruhan bernilai puluhan juta ringgit.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, industri sambung dan bayar kini menjadi pilihan utama pemilik kenderaan untuk menyelesaikan bebanan hutang terutama ketika pendapatan terjejas akibat Covid-19.

“Ini bukan isu baru, sudah lama sebenarnya. Pengguna masih lagi keliru dengan pilihan yang ada untuk melunaskan pembiayaan kenderaan mereka.

“Kami turut terima aduan ramai jadi mangsa penipuan apabila duit diberikan kepada pemilik, tetapi kereta pula ditarik pihak ketiga.

“Mangsa diberikan satu dokumen perjanjian kononnya sah daripada segi perundangan, sebenarnya ia menimbulkan kekeliruan, ramai yang tidak tahu, tiada kaedah sambung bayar dibenarkan,” katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Ina, 40-an, berkata, dia kerugian RM35,000 apabila kereta dibelinya secara sambung bayar ditarik pihak tidak dikenali, Februari lalu.

Menurutnya, dia membeli kereta itu dari sebuah syarikat menjual kenderaan di Negeri Sembilan.

Selain bayaran itu, katanya, dia mempunyai komitmen bulanan hampir RM2,000 setiap bulan selama beberapa tahun lagi.

“Saya merasa ditipu apabila kereta ditarik balik kerana saya membayar wang banyak untuk membeli kereta itu.

“Bila saya tanya kepada syarikat itu, mereka mendakwa tidak mengetahui mengenai perkara itu dan memaklumkan individu yang menjual kereta itu kepada saya sudah berhenti,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Klang Utara berhubung kejadian itu.

Artikel oleh: Harian Metro

AUTA SINDIKET SAMBUNG BAYAR KENDERAAN

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/03/686918/auta-sindiket-sambung-bayar-kenderaan