Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
BAHAN RAMUAN DALAM CECAIR VAPE PERLU DIISYTIHAR – BERITA HARIAN – 06/12/2021
06 Dec 2021

KUALA LUMPUR: Di sebalik kepulan asap putih dengan aroma manis buah-buahan atau berperisa minuman, penghisap vape kadangkala kelihatan trending, maka tidak hairanlah seramai 300,000 pelajar sekolah di seluruh negara didapati terjebak dengan penggunaan rokok elektronik itu.

Dalam satu pendedahan di Dewan Rakyat pada Oktober 2019, bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata daripada jumlah direkodkan Kementerian Kesihatan (KKM), hampir 50,000 daripada penghisap vape terdiri daripada pelajar perempuan.

Dalam nada bimbang, Dzulkefly berkata, satu kajian oleh kementerian mendpati 9.1 peratus atau 300,000 pelajar di negara ini menggunakan vape.

Walaupun negara mempunyai undang-udang menyekat individu berumur di bawah 18 tahun daripada merokok namun masalah ini masih berterusan malah berleluasa terutama membabitkan rakyat bawah umur.

Senada dengan Dzulkefly, Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye sejak dari dahulu mahu pihak berkuasa bertindak tegas dan bersepadu kerana penguatkuasaan undang-undang oleh KKM sahaja pasti tidak akan membuahkan hasil.

Lam Thye dalam satu laporan berkata, mahu penjualan vape kepada kanak-kanak dihentikan serta merta manakala pihak sekolah pula perlu mengetatkan pemantauan dan mengadakan kempen kesedaran mengenai bahaya vape terhadap kesihatan.

“Ibu bapa pula tidak boleh melepaskan tanggungjawab kepada pihak sekolah atau pihak berkuasa. Mereka perlu memantau aktiviti anak-anak mereka bagi memastikan tidak ada yang terlibat dengan aktiviti menghisap vape.

“Saya amat berharap rang undang-undang baharu berkaitan kawalan penggunaan rokok elektronik atau vape dan shisha dapat dibentang di Parlimen secepat mungkin bagi menangani masalah ini,” katanya dalam laporan berkenaan.

Tambah Lam Thye, menggubal undang-undang baharu pasti memakan masa dan oleh itu beliau menggesa semua pihak bersama-sama menjalankan tanggungjawab untuk meningkatkan kesedaran mengenai bahaya menghisap vape.

Dalam satu data berlainan, vape adalah segmen dalam industri tembakau yang paling pesat berkembang dengan anggaran pengguna lebih 1.12 juta orang manakala saiz pasaran global dianggarkan bernilai AS$15 bilion pada tahun 2020.

Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadizm Johan ketika dihubungi berkata, kerajaan berani mengambil langkah berani dengan mengumumkan cukai untuk cecair vape dalam Bajet 2022 bermula 1 Januari depan.

“Mengenakan cukai nikotin sahaja tidak cukup. Siapa pun tahu nak buat kerja naikkan cukai nak kurangkan penggunaan, ni kerja orang malas. Kerajaan mesti segera memperkenalkan undang-undang baharu untuk mengurangkan vape bernikotin.

“Angka 300,000 pelajar sekolah menghisap vape ini membimbangkan kerana mereka akan berterusan menjadi pengguna vape selepas habis sekolah,” katanya.

Nadzim yang lebih mesra dengan nama Toqqi berkata, perlu ada mekanisme diperkenalkan untuk mengehadkan jualan vape terutama membabitkan golongan bawah umur.

“Vape ni pembungkusan tiada ada amaran tengkorak, lidah putus atau dada berlubang. Tidak ada amaran langsung. Oleh itu, kita gesa ada satu pemakaian undang-undang standard seperti yang dipakai untuk produk tembakau”.

Ini adalah kerana vape juga diperbuat dari nikotin dari sumber tembakau dan juga menyebabkan ketagihan sama seperti produk tembakau. Maka itulah, produk vape juga harus mencetak amaran kesihatan seperti produk tembakau yang lain.

“Perlu ada tanda amaran untuk dilekatkan pada cecair vape. Mengikut pemantauan kita, sebanyak 97 peratus cecair vape di pasaran negara kita mengandungi nikotin.

PPIM juga menerima maklumat bahawa, 40 peratus cecair vape di negara mempunyai nikotin atau dianggarkan 12.1 bilion batang rokok.

“Walaupun ada dakwaan cuba mempertahankan vape kerana ia kurang mudarat, namun kerana kurangnya penguatkuasaan undang-undang di negara ini boleh menyebabkan pengguna terdedah kepada bahan ramuan berbahaya yang tidak didedahkan,” katanya.

Memandangkan kerajaan telah pun memutuskan untuk melaksanakan cukai terhadap vape bernikotin, perlu ada mekanisme untuk memastikan vape di pasaran telah dibayar cukai.

Setem cukai perlu dipertimbangkan untuk memudahkan pemantauan yang telah diguna pakai kepada produk rokok dan minuman keras.

Jika ini tidak dilakukan, sudah pasti lambakan vape haram tidak dapat dikawal sepenuhnya.

Artikel oleh: Berita Harian

BAHAN RAMUAN DALAM CECAIR VAPE PERLU DIISYTIHAR

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2021/12/895666/bahan-ramuan-dalam-cecair-vape-perlu-diisytihar