Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
BANJIR LUMPUR: PENDUDUK MAHU KERAJAAN SELANGOR CAMPUR TANGAN – BERITA HARIAN – 03/11/2019
04 Nov 2019

HULU LANGAT: Penduduk Jalan Felcra Sungai Semungkis yang terjejas teruk akibat banjir kilat pada 12 Oktober lalu meminta kerajaan negeri Selangor campur tangan menyelesaikan masalah itu.

Wakil penduduk, Abu Samah Ibrahim, berkata walaupun sudah tiga minggu berlalu, kebanyakan penduduk masih bimbang banjir kilat melanda lagi.

“Setiap kali hujan lebat, tidak kira siang atau malam, beberapa penduduk terpaksa berjaga untuk memantau keadaan sekeliling kampung serta kampung berhampiran.

“Sekiranya air naik, kami akan memberi amaran kepada jiran tetangga untuk berjaga-jaga selain membersihkan laluan air hujan yang turun daripada bukit daripada tersekat oleh sampah dan dahan pokok bagi mengelak banjir kilat,” katanya kepada BH, hari ini.

Beliau sebelum itu bersama kira-kira 40 penduduk mengadakan perbincangan dengan Pengarah Operasi Unit Siasatan dan Tindakan Khas, Biro Khidmat Aduan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Fatimah Yassin.

Yang turut hadir, Ketua Kampung Batu 14 Hulu Langat, Zalimi Maulana Abdul Halim dan peguam, Nik Mohamad Anuar Badirudeen.

Abu Samah berkata kejadian itu menjejaskan hidup penduduk.

“Justeru, kita akan cuba membawa perkara itu ke peringkat kerajaan negeri dan sekiranya perlu, kita mahu Sultan Selangor campur tangan dalam isu ini.

“Kami mahu penyelesaian jangka panjang demi keselamatan nyawa dan harta benda kami pada masa akan datang dan bukan sekadar bayaran pampasan,” kata beliau.

Selain itu, katanya pihaknya juga mahu kerajaan negeri membuat satu kajian berhubung tahap keselamatan di kawasan penempatan itu sama ada ia selamat untuk didiami atau sebaliknya.

Sementara itu, Fatimah berkata kejadian banjir kilat di perkampungan itu pada 12 Oktober lalu bukan kali pertama kerana ia pernah berlaku pada 2017, dipercayai berpunca daripada projek pembangunan berhampiran.

“Pada 2017, penduduk lebih 100 buah rumah yang terjejas di perkampungan serta beberapa kampung berhampiran dijanjikan pampasan ganti rugi oleh pemaju selain mereka berjanji mencari jalan penyelesaian agar kejadian itu tidak berulang.

“Bagaimanapun, baru-baru ini PPIM difahamkan pemaju tidak menepati janji mereka sehinggalah kejadian sama berlaku pada 12 Oktober lalu, malah keadaannya lebih buruk daripada yang sebelumnya,” katanya.

Justeru kata beliau, jalan terbaik supaya nasib penduduk mendapat pembelaan sewajarnya adalah dengan membawa perkara itu ke mahkamah menggunakan khidmat peguam.

Menurut Nik Mohamad, penduduk wajar mengumpul bukti tertentu sebelum mengemukakan sebarang tuntutan mahkamah berhubung insiden itu.

“Sebagai peguam, saya nasihatkan supaya penduduk melantik perunding untuk menjalankan kajian berhubung punca sebenar banjir kilat.

Pada 12 Oktober lalu, lebih 200 rumah termasuk di Kampung Sungai Michu, terjejas teruk akibat banjir kilat bersama lumpur yang didakwa berpunca daripada kerja pembinaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) yang dimulakan pada 2017.

Artikel oleh: Berita Harian

BANJIR LUMPUR: PENDUDUK MAHU KERAJAAN SELANGOR CAMPUR TANGAN

https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/11/624622/banjir-lumpur-penduduk-mahu-kerajaan-selangor-campur-tangan