Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, perkara itu akan membawa masalah yang lebih besar pada kemudian hari seperti peni­puan, muflis, masalah kewangan dan sebagainya yang akhirnya akan memberi kesan negatif kepada masyarakat.

Menurutnya, perkara itu bukan baharu kerana sudah ada sindiket yang menjalankan kegiatan tersebut dan sering mencari mereka yang mahu mendapatkan keuntungan daripada manipulasi sistem perbankan sedia ada.

“Sistem yang digunapakai antara bank harus dipertingkatkan agar setiap bank mengetahui status permohonan sama ada sudah diterima atau belum kerana sistem sedia ada kini kurang berkesan apabila sindiket mampu mencari ruang membuat pinjaman kepada bank atas produk yang sama daripada bank berlainan.

“Bank Negara juga perlu memainkan peranan dan tanggungjawab mereka agar perkara seperti itu dapat dihalang yang mana tidak mungkin jumlah hutang individu melebihi pendapatan yang diterima,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, laporan khas Utusan Malaysia menyiarkan modus operandi individu yang berpendapatan sekitar RM3,000 mampu membeli lapan buah kereta baharu dengan membuat pinjaman ke beberapa buah bank.

Individu tersebut memanipulasi sistem perbankan dengan bantuan daripada jurujual kenderaan serta pegawai bank yang menguruskan pinjaman dengan menandatangani perjanjian sewa beli serentak.

Nadzim berkata, pembeli kenderaan dengan cara pinjaman perlu mematuhi segala terma dan syarat sewa beli yang ditandatangani serta tidak membenarkan kenderaan tersebut dialamatkan atau berpindah milik kepada orang lain.

Menurutnya, adalah salah di sisi undang-undang apabila kenderaan yang masih berhutang dengan bank diberikan kepada penyewa atau mema­jakkan kenderaan tersebut yang sering dilakukan oleh sindiket itu.

Tambahnya, pengguna harus tahu risiko yang bakal mereka hadapi jika berlaku sebarang perkara tidak diingini seperti kemala­ngan, saman, kecurian kenderaan atau syarikat yang memajak itu mengalami muflis atau berpindah milik.

“PPIM banyak membantu pengguna yang menghadapi masalah sistem pajakan kende­raan kerana tidak mendapat bayaran namun masih ramai yang degil demi mendapatkan keuntungan atas angin,” katanya.