Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
BASIKAL LAJAK: IBU BAPA PERLU TENTUKAN ANAK-ANAK BERADA DI RUMAH SELEPAS MAGHRIB – BERNAMA – 06/11/2019
06 Nov 2019

MELAKA, 6 Nov – Ibu bapa harus kembali kepada kaedah tradisi dalam mendidik anak-anak terutama di peringkat kanak-kanak dan awal remaja dengan membuat peraturan supaya mereka berada di rumah sebelum waktu Maghrib bagi menentukan mereka tidak terlibat dalam gejala tidak sihat seperti basikal lajak, merokok dan sebagainya.

Ibu bapa sekarang perlu kembali kepada kaedah warisan dalam mendidik anak seperti budaya menghormati orang tua, tidak keluar merayau ketika waktu Maghrib, solat secara berjemaah bersama keluarga, dan sebagainya.

Seorang peniaga, Shahrul Adam yang berusia 50-an, dari Bukit Katil di sini beliau akan memastikan tiga orang anak lelakinya berada di rumah sebelum masuk waktu solat Maghrib seperti mana yang dilakukan oleh arwah bapanya ketika beliau masih kecil.

“Bagi saya anak adalah harta yang perlu dijaga dengan baik kerana ianya adalah tanggungjawab dari Allah swt dan atas prinsip tersebut saya sentiasa memastikan anak-anak saya pulang awal dan memantau apa yang mereka dilakukan,” katanya kepada Bernama.

Beliau mengulas sikap ibu bapa yang membiarkan anak-anak mereka merayap sehingga awal pagi dan terlibat dalam kegiatan basikal lajak yang boleh membahayakan keselamatan diri sendiri serta pengguna di mana contoh terbaik ialah kejadian di Johor Bahru pada 18 Feb 2017 apabila lapan orang kanak-kanak yang sedang bermain basikal lajak maut dilanggar sebuah kereta pada pukul 3 pagi.

Beliau bersetuju dengan kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa ibu bapa kepada anak yang terlibat dengan kegiatan basikal lajak sehingga mengundang bahaya kepada diri dan pengguna jalan raya boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001.

Ibu bapa yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa menjaga dan mengambil tahu tentang anak mereka sendiri.

“Sepertimana yang saya sering katakan ibu bapa perlu anggap anak mereka sebagai harta kerana ianya merupakan aset mereka dan aset negara yang perlu dijaga dengan sebaik mungkin yang menentukan masa depan negara,” katanya.

Beliau mencadangkan agar pihak kerajaan menambah baik undang-undang yang sedia ada bagi membolehkan tindakan perundangan diambil terhadap ib ubapa yang gagal mematuhi undang-undang di bawah Akta Kanak-Kanak itu.

“Antara undang-undang yang boleh diwujudkan adalah mengambil tindakan terhadap ibu bapa yang gagal memastikan bahawa anak mereka berada di rumah sebelum waktu Maghrib iaitu dalam lingkungan 6.00 petang hingga 7.00 malam,”katanya.

Artikel oleh: Bernama

BASIKAL LAJAK: IBU BAPA PERLU TENTUKAN ANAK-ANAK BERADA DI RUMAH SELEPAS MAGHRIB

http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1786695