Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
BATAL DISKUSI VAKSIN SAAT AKHIR, AMZAD BERKUNJUNG KE PPIM SAMBUNG PERBINCANGAN – ASTRO AWANI – 18/02/2021
20 Feb 2021

KUALA LUMPUR: Diskusi mengenai vaksin COVID-19 yang dijadualkan pada Rabu malam membabitkan Timbalan Menteri Sains dan Teknologi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) secara langsung Facebook menjadi sedikit hangat apabila Amzad terpaksa membatalkanya pada saat akhir.

Pembatalan yang disebabkan urusan tidak dapat dielakkan itu mencetuskan pelbagai tomahan dan tidak kurang yang menyifatkan beliau sengaja tidak hadir kerana mengelak daripada menjawab isu berkenaan.

Amzad yang menyedari timbulnya perasaan tidak senang di kalangan penonton atas kegagalan hadir itu pada Khamis mengunjungi kediaman Ketua PPIM, Datuk Nadzim Johan atau Tokki untuk meneruskan sesi perbincangan lanjut.

“Tengah hari tadi saya berkunjung ke PPIM, Kuala Lumpur bertemu pemimpin-pemimpin PPIM untuk membincangkan isu-isu berkaitan umat Islam termasuk vaksin COVID-19, Sugarbook dan daging halal.

“Isu vaksin COVID-19 dibincangkan agak panjang tadi. Ramai aktivis yang turut ada tadi,” katanya kepada Astro AWANI.

Jelasnya, pertemuan tersebut berlangsung dalam suasana muhibbah dan digunakan beliau sebagai ruang untuk memberi penjelasan berkenaan vaksin dan isu-isu semasa yang membabitkan kepentingan umat Islam di negara ini.

“Saya suka untuk menerima segala pandangan dan memberikan penjelasan… yang alhamdulillah tidaklah sukar untuk saya.

“Kebanyakannya soalan yang sudah biasa saya jelaskan di pelbagai media,” tambahnya.
PPIM dan beberapa NGO Islam lain sebelum ini lantang mengkritik isu pembelian vaksin COVID-19 oleh kerajaan dan mendakwa wujudnya kegusaran berkaitan status kesucian selain keselamatan penggunaan vaksin tersebut.

Ia mencetuskan polemik yang kurang senang di kalangan NGO terbabit dan pihak kerajaan tatkala Malaysia akan menerima vaksin berkenaan dalam tempoh terdekat.

“PPIM berhasrat supaya penjelasan kerajaan dapat disampaikan kepada orang ramai melalui komunikasi berkesan.

“Saya mengajak PPIM untuk berkongsi hasrat agar mengutamakan pendekatan ilmu dalam menangani jurang kefahaman,” jelas Amzad.

Kerajaan katanya boleh memberikan jawapan secara berfakta untuk persoalan yang dibangkitkan selain bersedia meneliti segala kritikan dan pandangan bertentangan yang berasaskan fakta.

“Saya dan YB Khairy Jamaluddin, Menteri MOSTI dalam pertemuan sebelum ini dengan PPIM telah menyatakan boleh mengaturkan perbincangan ilmiah dalam sebarang isu yang berbangkit.

“Malaysia mempunyai ramai tenaga pakar termasuk di pelbagai agensi di bawah MOSTI, KKM atau universiti tempatan yang boleh membantu,” jelasnya lagi.

Malaysia dijangka akan menerima vaksin Pfizer-BioNTech lebih awal iaitu pada 21 Februari ini membabitkan 300,000 dos bagi penghantaran pertama.

Sebelum ini Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bagi fasa pertama adakan dimulakan pada 26 Februari.

Artikel oleh: Astro Awani

BATAL DISKUSI VAKSIN SAAT AKHIR, AMZAD BERKUNJUNG KE PPIM SAMBUNG PERBINCANGAN

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/batal-diskusi-vaksin-saat-akhir-amzad-berkunjung-ke-ppim-sambung-perbincangan-283609