Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
BENZOIL PEROKSIDA DALAM TEPUNG SELAMAT – BERITA HARIAN – 19/1/2017
19 Jan 2017

berita harian 19.1.2017

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengesahkan bahan peluntur benzoil peroksida dalam kebanyakan tepung gandum di negara ini selamat dimakan. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983 membenarkan benzoil peroksida sebagai kondisioner makanan dalam tepung pada kadar tidak melebihi 50 miligram/kilogram (mg/kg). Katanya, benzoil peroksida telah dinilai dan disahkan selamat untuk digunakan dalam makanan menerusi jumlah tertentu oleh badan penilai antarabangsa iaitu Jawatankuasa Pakar mengenai Aditif (JECFA) di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO). “Justeru, Codex Alimentarius Commission (CAC), iaitu badan antarabangsa di bawah Program Piawai Makanan kerjasama FAO/WHO Food, membenarkan penggunaan benzoil peroksida dalam tepung gandum pada kadar tidak melebihi 75 mg/kg, ” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. Semalam, beberapa akhbar melaporkan dakwaan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bahawa kebanyakan tepung gandum dipasarkan di negara ini mengandungi benzoil peroksida yang boleh menjejaskan kesihatan. Dr Noor Hisham berkata, penambahan benzoil peroksida dalam tepung gandum dibenarkan di negara lain seperti Jepun dan Amerika Syarikat manakala Australia New Zealand Food Standards Code membenarkan ia digunakan dalam semua makanan. Katanya, kementerian tidak akan teragak-agak mengambil tindakan bagi melindungi kesihatan pengguna sekiranya wujud bukti saintifik terkini daripada badan antarabangsa seperti CAC dan JECFA mengenai bahan bahaya dalam makanan kepada kesihatan. “Ini termasuk mengkaji semula peraturan makanan sedia ada menerusi Peraturan-Peraturan Makanan 1985. “Kementerian sentiasa memantau isu terkini berhubung keselamatan makanan. Dalam hal ini, pemantauan ke atas pelbagai jenama tepung di pasaran menunjukkan kandungan benzoil peroksida di bawah kadar dibenarkan,” katanya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/236230