Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
BERITA 757 | SEMBILAN ‘DRAGON’ MASIH KAWAL MALAYSIA? – BERITA 757 – 11/09/2021
23 Sep 2021

Kegiatan perjudian haram dan semua aktiviti tidak bermoral di negara ini yang didakwa didalangi sembilan ketua atau digelar ‘dragon’ masih wujud sehingga ke hari ini.

Meskipun pendedahan pernah dibuat oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pada tahun 2017, namun sampai ke hari ini kumpulan ‘dragon’ difahamkan masih berleluasa.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan memberitahu Berita 757, kumpulan itu masih berleluasa dan ia seperti tiada jalan penyelesaian.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Toqqi berkata, hari ini satu kumpulan ‘dragon’ mampu mengaut RM30 juta sehari hasil daripada kegiatan perjudian serta pelbagai aktiviti haram di seluruh negara.

Malah, dakwa beliau, kumpulan itu juga berkeupayaan untuk menukarkan pegawai penguat kuasa yang dirasakan mengganggu gugat kegiatan mereka hanya dalam tempoh 24 jam.

Katanya, selain melibatkan isu penguatkuasaan, ia turut berkait rapat dengan soal integriti yang mana pihak berkuasa bersekongkol serta menerima suapan daripada kumpulan terbabit.

“Mereka ini macam Yakuza di Jepun. Mereka akan kawal semuanya. Malah mereka juga yang berkuasa memindahkan dan mengatur pegawai atasan.

“Perkara ini tidak akan selesai selagi tiada kesedaran, selagi kiri kanan pegawai ambil duit daripada mereka.

“Selagi pihak atasan bekerjasama dengan mereka, begitulah masalah ini tidak akan dapat di atasi,” kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Pada 2017, sebuah akhbar mendedahkan sembilan ‘dragon’ mengawal penguat kuasa di negara ini dan meraih RM5 bilion setahun.

Kesukaran untuk mengambil tindakan terhadap kumpulan berkenaan, ujar beliau, disebabkan pihak atasan organisasi terbabit telah menjalin hubungan rapat dan saling bekerjasama dalam beberapa urusan selain turut menerima wang perlindungan.

#Berita757 #RakyatKeutamaankami

Artikel oleh: Berita 757

BERITA 757 | SEMBILAN ‘DRAGON’ MASIH KAWAL MALAYSIA?

https://www.facebook.com/berita757/posts/176434461284770