Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
BERITA PPIM : Kejutan Bankrap Bagi Pembeli Rumah Terbengkalai
25 Feb 2012

Kejutan Bankrap Bagi Pembeli Rumah Terbengkalai

Oleh Hazlinda Hamzah

PUTRAJAYA, 21 Feb (Bernama) — Lebih 50 pembeli rumah bersama anggota keluarga dan rakan-rakan berkumpul di luar pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Parcel D, Putrajaya baru-baru ini.

Mereka adalah antara ramai pembeli pangsapuri projek Yamin Estate yang terbengkalai di Pulau Indah, Klang, yang pada Januari menerima notis mengisytiharkan mereka muflis bagi pinjaman yang diambil untuk membeli pangsapuri berkenaan.

Masalah mereka tidak banyak berbeza daripada masalah pembeli rumah terbengkalai lain di negara ini di mana pemaju menghilangkan diri meninggalkan pembeli sehelai sepinggang.
Tetapi kali ini kebanyakan pembeli dibebani hutang besar yang mereka dakwa berpunca kerana kecuaian pihak pembiaya.

Pembeli menganggap mereka teraniaya dan berkata bank-bank yang harus dipersalahkan kerana mengeluarkan bayaran berperingkat tanpa mengesahkan kemajuan pembinaan.
Mereka juga mendakwa terdapat pakatan tidak rasmi antara bank dan pemaju yang menyebabkan pembeli teraniaya dan mahu SPRM menyiasat elemen komplot dan salahguna kuasa.

DILEMA

“Saya baru-baru ini menerima notis mengisytiharkan saya muflis. Saya tidak mahu meneruskan dengan bayaran bulanan kepada bank. Mengapa saya perlu bayar? Rumah belum siap, dan nampaknya tidak akan siap,” kata seorang pembeli kurang bernasib baik, Mohd Zulfatah Omar, 44 tahun.
Walaupun hanya RM41,000 dikeluarkan kepada pemaju berdasarkan kepada tuntutan bayaran berperingkat tetapi selepas 11 tahun hutang beliau tidak berkurang malah meningkat kepada RM47,000!
“Rumah belum nampak sehingga hari ini, yang tinggal hanya cerucuk dan strukur bangunan. Macam mana saya mahu bayar bagi sesuatu yang tidak wujud? Bank tidak boleh keluarkan bayaran tanpa memeriksa tapak untuk mengesahkan kemajuan binaan?” sambung pekerja kilang yang jelas kecewa ini.
Mohd Zulfatah adalah antara lebih 2,000 pembeli pangsapuri kos sederhana di projek pembangunan Yamin Estate di Pulau Indah di Klang yang menandatangani perjanjian jual beli (S&P) pada awal 2000 bersama pemaju yang kini telah gulung tikar dan dijanji akan menerima kunci berperingkat-peringkat antara 2002 dan 2004.

Projek pembangunan lima fasa ini terdiri daripada pangsapuri – Bahtera Apartments, Yamin Heights, Yamin Towers, Indah Heights dan Mutiara Heights.
Zulfatah bukan sahaja berputih mata dengan rumah impaiannya yang tidak siap tetapi kini berhadapan dengan masa depan yang tidak menentu kerana diisytharkan bankrap pada bulan lepas.

ADA UDANG DI SEBALIK BATU

Zulfatah adalah antara lebih 2,000 pembeli yang percaya telah diperdayakan oleh pemaju dan institusi kewangan.
Sebelum ke SPRM, mereka mengadu kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang menasihatkan mereka supaya mengajukan masalah itu kepada pihak berkuasa.
“Berapa lama saya dapat tahan dengan masalah ini? Terus bayar untuk rumah yang saya dan keluarga tidak akan pindah masuk? Saya memeterai S&P pada April 2002. Di bawah perjanjian itu pangsapuri itu sepatutnya siap dalam tempoh 24 bulan. Ansuran bulanan saya bagi dua tahun pertama adalah RM270,” kata Mohd Nizam berusia 43 tahun kepada Bernama.

Pinjaman yang diambil oleh Nizam berjumlah RM92,000 termasuk insurans dan jumlah itu telah diserahkan sepenuhnya kepada pemaju oleh bank, walaupun tiada kemajuan dalam binaan. Bank itu kemudian menuntut Nizam membayar ansuran penuh sebanyak RM649 setiap bulan.
“Saya berunding dengan bank. Bayaran ansuran dikurangkan kepada RM200 sebulan bagi dua tahun lagi dan kemudian kami berunding lagi. Saya kemudian tidak mahu membayar RM50 pun sebulan. Buat apa bayar untuk rumah yang nampaknya tidak akan siap sampai bila-bila,” jelas Nizam sambil diperhatikan oleh isteri Nuzatulshimah Masikan, 40, dan dua anak mereka.

Nizam yang juga menerima notis bankrap menunjukkan bahawa baki hutang pinjaman meningkat kepada RM191,000.
Nuzatulshimah mengeluh; “Saya hanya suri rumah dan kami mempunyai dua anak yang masing-masing berusia 13 dan 17 tahun. Anak kami perlu melanjutkan pengajian dan kami kemungkinan perlu mendapatkan pinjaman pengajian bagi mereka.”
Beliau kini bimbang akan masa depan kewangan keluarga memandangkan suaminya disenarai hitam oleh institusi-institusi kewangan kerana status bankrapnya.
Nizam, bagaimanapun, berjaya membeli sebuah lagi kediaman tiga tahun yang lepas dan beliau sekeluarga kini mendiaminya.

NORAZAH TIDAK DAPAT TIDUR

Seorang kakitangan sektor swasta, Norazah Sajidin, 48, turut berada di pejabat SPRM untuk mencari penyelesaian bagi masalahnya.
Beliau sehinggakan tidak dapat tidur lena sejak menandatangani S&P bersama pemaju.

“Saya mengeluaran RM15,000 daripada simpanan KWSP. Bank pula keluarkan RM65,000 daripada jumlah pinjaman kepada pemaju tidak bertanggungjawab itu. Saya masih meneruskan dengan ansuran bulanan. Sebelum ini saya membayar RM300 setiap bulan, tetapi sekarang mereka membenarkan saya membayar RM50 sebulan. Ini membolehkan saya mengelak daripada disenarai hitam oleh institusi kewangan,” jelas Norazah.
Oleh kerana pengalaman pahit itu, Norazah tidak pernah memikirkan semula untuk membeli sebuah lagi rumah. Beliau kini mendiami rumah yang dibina di atas tapak tanah bapanya.
“Saya tidak lagi akan membeli rumah. Pengalaman ini menyebabkan saya berasa was-was dengan pemaju. Saya mahu melepaskan diri daripada hutang ini dan mahu dapatkan balik kesemua wang saya,” katanya dan menambah kata yang beliau juga tidak mahu meneruskan dengan bayaran bagi rumah yang tidak akan siap sampai bila-bila pun.

ANGKARA PEMAJU PERUMAHAN

Pengerusi Jawatankuasa Pembeli Bahtera Apartmen Anuar Ibrahim menunjukkan dokumen yang diperoleh daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang mengesahkan bahawa pemaju di Pulau Indah tidak pernah mengemukakan pelan binaan untuk mendapatkan kelulusan.

“Sebenarnya, tiada pelan yang dikemukakan oleh pemaju kepada MPK. Lagipun , status tanah masih belum ditukar daripada status asalnya sebagai tanah pertanian kepada tanah kediaman.
“Arkitek bagi projek ini juga berundur pada 2001, iaitu semasa permulaan projek perumahan ini. Selain daripada itu tiada permohonan kemudahan bagi projek itu pernah didaftar atau dikemukakan,” jelas Anuar dalam nada kecewa.

Sementara pembeli rumah harus sedar akan tanggungjawab mereka untuk membayar balik pinjaman, bank-bank pula perlu bertanggungjawab bagi semua pinjaman yang dikeluarkannya.
Adalah tidak wajar bank-bank mengeluarkan bayaran kepada pemaju yang membuat tuntutan palsu berkaitan kemajuan binaan projek masing-masing.

Pihak pembeli kini mahu SPRM menyiasat pihak-pihak terbabit dan menamatkan masalah pembeli yang telah lama berlarutan ini dan bebaskan mereka daripada hutang pinjaman.

— BERNAMA