Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
BERSATU DEMI MASLAHAH – UTUSAN MALAYSIA – 04/10/2019
04 Oct 2019

MENJADI satu cabaran besar buat seluruh masyarakat Islam untuk mempertahan hak dan maruah usahawan Muslim yang berjuang memperkasakan ekonomi serta survival ummah dalam sektor tersebut.

Bukan suatu yang mudah bersaing dan menempatkan diri dalam sebuah kelompok perniagaan dikuasai masyarakat bukan Islam kerana persaingan pastinya sengit.

Namun, semua itu merupakan satu cabaran buat usahawan Muslim ‘bertarung’ menangkis segala persaingan yang dihadapi lantaran semua ujian dan dugaan tersebut adalah sebahagian daripada jihad di jalan Allah terutama memperkasakan ekonomi Islam.

Sehubungan itu, masyarakat dan seluruh komuniti Islam perlu bersatu menyokong pengorbanan yang dilaksanakan oleh usahawan Muslim.

Saranan tersebut dilaungkan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang mahukan satu kesatuan utuh dalam masyarakat Islam bagi mengelak berlaku perpecahan dalam komuniti Islam itu sendiri.

Katanya, tanpa kesatuan menyebabkan umat Islam menjadi lemah sekali gus mengundang kepada banyaknya berlaku perpecahan dalam masyarakat.

“Realiti yang tidak dapat disangkal, umat Islam kini sering dihina, semuanya kerana kita lemah dan tidak ada kesepakatan selain berlaku banyak perpecahan dalam masyarakat.

“Untuk itu, kita perlu mencari titik persamaan dan bukannya mencari ruang perbezaan yang menjuruskan kita ke arah kehancuran terutama dalam bidang yang penting iaitu dalam sektor perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi bual bicara Hijrah To Fitrah yang membicarakan tajuk ‘Bersepakat Berkat, Berpecah Rebah’ anjuran GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISB), baru-baru ini.

Menurutnya, kempen Utamakan Produk Muslim atau Buy Muslim First (BMF) suatu langkah tepat dalam membantu golongan usahawan Muslim mengembangkan perniagaan selain memastikan barangan halal serta bersih diberi atau digunakan seluruh ahli keluarga.

Jelasnya, kempen BMF bukannya satu serangan terhadap bangsa lain atau memboikot mana-mana pihak seperti yang didakwa, sebaliknya merupakan perjuangan umat Islam.

“PPIM juga menubuhkan pergerakan Pertubuhan Komuniti Sokong Peniaga Bayar Zakat dengan melancarkan aplikasi untuk kempen tersebut.

“Menerusi platform yang ditubuhkan itu, orang ramai boleh berkongsi pengalaman, masalah dan saling membantu. Di sini, semua maklumat disatukan dalam satu platform bagi memberi manfaat kepada semua,” katanya.

Artikel oleh: Utusan Malaysia

BERSATU DEMI MASLAHAH

https://www.utusan.com.my/mega/agama/bersatu-demi-maslahah-1.980747