Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
‘BERSATU HATI’ BELI PRODUK MUSLIM – KOSMO – 10/09/2019
10 Sep 2019

EKONOMI merupakan kuasa penting dalam menentukan kekuatan sesebuah bangsa terutamanya di Malaysia yang mempunyai penduduk berbilang kaum.

Berdasarkan perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah penduduk bumiputera di negara ini yang direkodkan pada tahun 2019 adalah seramai 20.4 juta orang.

Jumlah tersebut merupakan 69.3 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia yang berjumlah 32.6 juta orang.

Penduduk kaum Cina pula adalah seramai 6.7 juta orang (22.8 peratus), India 2.03 juta orang (6.9 peratus) dan kaum-kaum lain 294,000 orang (1.0 peratus).

Bagaimanapun, taraf ekonomi orang Melayu agak ketinggalan berban­ding kaum-kaum lain yang sebenarnya telah lama bersepakat membina kekuatan dalam sektor perniagaan di negara ini.

Namun, segelintir bangsa Melayu saling berhasad dengki dan memperkecil kemampuan peniaga sesama umat serta memandang rendah produk keluaran Muslim.

Penulis percaya orang Melayu mampu bangkit dan berdaya saing dalam me­nguasai ekonomi negara sekiranya 20.4 juta penduduk bumiputera memanfaatkan kuasa beli yang mereka miliki.

Menerusi kuasa beli orang Melayu itu, ekonomi umat Melayu boleh berkembang pesat dan kukuh sekiranya ‘bersatu hati’ mengutamakan produk serta perkhidmatan sendiri.

Pada masa ini, kita tidak mempunyai masalah untuk membuat pilihan produk Muslim memandangkan terdapat banyak barang­an keluaran bumiputera berada di pasaran seperti produk makanan, kecantikan, pembinaan, pertanian, kesihatan dan sebagainya.

Kempen Beli Produk Muslim yang dilancarkan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Gerakan Pembela Ummah (Ummah) dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain sejak pada 2 April lalu adalah tepat pada waktunya untuk membantu meningkatkan ekonomi umat Islam.

Sehubungan itu, orang Melayu perlu memberi sokongan dan menyahut kempen tersebut jika mahu melihat bangsa kita dapat menguasai ekonomi negara walaupun mengambil sedikit masa.

Jika masyarakat Muslim berterusan tidak mahu membantu sesama sendiri, ini bermakna kita membiarkan peniaga dan pengusaha Muslim gagal dalam usaha pengukuhan ekonomi.

Penulis difahamkan kempen tersebut bukan satu tindakan untuk memboikot produk bukan Muslim sebaliknya merupakan satu gerakan menggalakkan pengguna dalam kalangan bumiputera supaya mengutamakan produk keluaran Muslim.

Kempen itu juga bukan satu tindakan yang boleh dikategorikan sebagai rasis kerana orang Melayu sedia membeli barangan milik bukan Muslim sekiranya tidak mempunyai pilihan lain.

Dalam pada itu, kejayaan para peniaga Muslim bukan sahaja memberi keuntungan kepada satu pihak sahaja, sebaliknya dapat berkongsi manfaat de­ngan golongan yang kurang berkemampuan menerusi bayaran zakat perniagaan.

Agihan zakat kepada golongan berkelayakan itu sebenarnya juga memberi pulangan semula kepada para peniaga kerana secara tidak langsung dapat meningkatkan kuasa beli di pasaran.

Pada masa sama, penulis mengharapkan peniaga Muslim tidak mengambil kesempatan daripada kempen ini untuk menaikkan harga produk yang dijual dan mengeluarkan barangan yang tidak berkualiti semata-mata mahu mengaut keuntungan berganda.

Tindakan yang tidak bertanggungjawab ini boleh menjejaskan imej peniaga Muslim lain serta menggagal­kan kempen tersebut.

Artikel oleh: Kosmo

‘BERSATU HATI’ BELI PRODUK MUSLIM 

https://www.kosmo.com.my/negara/bersatu-hati-beli-produk-muslim-1.967539