Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
BOIKOT: DARIPADA OLIMPIK KEPADA PIALA AFF – 365 NEWS – 28/11/2016
29 Nov 2016

boikot

Perbuatan boikot ialah tindakan memulaukan, tidak membeli, tidak menggunakan atau tidak berurusan dengan pihak dinamakan.

Boikot ialah tindakan yang digeruni semua pihak. Manakan tidak, apabila seseorang atau sesebuah organisasi, kumpulan, syarikat, produk, perkhidmatan diboikot, kebarangkalian untuknya lenyap dan ‘mati’ amat tinggi. Jika ia dilakukan terhadap perniagaan atau barangan, maka mereka perlu bersedia menghadapi risiko ‘gulung tikar’.

Di Malaysia, tindakan ini kurang popular, namun tetap berlaku secara bermusim atau untuk memenuhi sesuatu keperluan dan menunjukkan kuasa.

Boikot berlaku secara meluas di serata dunia, tetapi lebih berhati-hati di Malaysia. Ini kerana implikasinya besar dan sebarang kesan boikot agak sukar diperbaiki.

FMT Ohsem menyenaraikan beberapa insiden boikot yang paling berpengaruh di Malaysia.

1. Pada 1980, pasukan bola sepak Malaysia memboikot Sukan Olimpik yang ketika itu berlangsung di Moscow. Walaupun layak, skuad negara yang berada pada zaman kegemilangannya memulaukan temasya itu disebabkan tindakan Kesatuan Soviet menceroboh Afghanistan. Ia adalah boikot paling hangat diperkatakan dalam sejarah sukan Malaysia, khususnya bola sepak.

2. Pada 2013, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa orang Melayu memboikot perniagaan dan produk terkenal pengusaha Cina yang membiayai pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang didakwa merosakkan perpaduan di negara ini. Ia bertujuan mendidik syarikat terlibat supaya tidak bersikap “kurang ajar”.

3. Boikot paling popular tetapi hanya dilakukan secara bermusim ialah kempen memulaukan barang dan perkhidmatan milik syarikat Israel serta Yahudi bagi menjuangkan nasib rakyat Palestin. Awang Selamat menerusi ruangan Analisis di Mingguan Malaysia pernah berkata, antara faktor Israel menghentikan keganasan ke atas penduduk Palestin adalah kesan boikot yang menjadi senjata efektif warga dunia. Pada 2014, Menteri Kewangan Israel, Yair Lapid dilaporkan mengakui kesan kempen itu menjejaskan ekonominya dengan kerugian sekurang-kurangnya AS$4 bilion (RM16.54 bilion).

4. Ingat lagi konflik penyanyi Shila Amzah dengan beberapa media tempatan berbahasa Malaysia? Ia berlaku pada 2014 apabila Shila tidak melayan atau menjemput media berbahasa Malaysia ke konsert anjuran sebuah syarikat perjudian. Keadaan bertambah teruk apabila media terus memulaukannya ketika sidang media diadakan untuk menerangkan keadaan sebenar. Malah, tiada media yang memberi liputan atau menemu bual Shila pada Anugerah Juara Lagu 2014.

5. Selain memboikot artis, media tempatan juga pernah memulaukan Kejohanan Piala Dunia Paintball 2015 (PWC) di Langkawi. Media tempatan mendakwa dipinggirkan penganjur yang hanya menumpu media asing sepanjang kejohanan. Mereka hanya membuat liputan pada majlis perasmian dan hari pertama kejohanan, manakala hari kedua dan terakhir dipulaukan.

6. Pengarah filem tempatan Afdlin Shauki memboikot Festival Filem Malaysia 2016 (FFM) bagi membantah kategori filem yang mengasingkan kaum dalam anugerah tersebut. “Maaf, tahun ini saya boikot FFM. Bilalah anak Malaysia tidak kira bangsa akan betul-betul dihargai karya seni mereka sebagai karya Malaysia. “All the best kepada semua yang tercalon. Jawatankuasa FFM good luck to you too,” tulis Afdlin dalam Facebooknya. Ia susulan beberapa filem utama seperti “Ola Bola” dan “Jagat” disisihkan daripada kategori filem terbaik FFM 2016.

7. Terbaru ialah tindakan memboikot kejohanan bola sepak Piala AFF Suzuki di Yangon, Myanmar. Ia bertujuan membantah penindasan berterusan kerajaan Myanmar ke atas umat Islam Rohingya. Bagaimanapun, Kabinet memutuskan Harimau Malaysia tidak akan menarik diri dan kerajaan akan mencari kaedah lain tidak membabitkan sebarang acara sukan untuk berbuat demikian. Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berdepan penggantungan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), jika skuad negara memboikot kejohanan itu, sekali gus boleh menyebabkan acara bola sepak tidak dapat dilangsungkan di temasya Sukan SEA 2017.

(FMT NEWS)