Malah, beberapa persatuan pengguna yang dihubungi turut mendesak Kerajaan PKR Selangor menjelaskan ke mana caj 20 sen tersebut disalurkan supaya pelaksanaan kempen beg plastik tersebut lebih telus.

Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, satu penambahbaikan perlu dilakukan untuk memastikan kempen kesedaran penggunaan beg plastik dapat di­­wujudkan berbanding hanya me­ngenakan caj 20 sen kepada pengguna.

“Saya pasti caj itu hanya meng­untungkan sebelah pihak sahaja dan pelaksanaannya membebankan. Pihak bertanggungjawab perlu mengkaji secara terperinci caj yang dikenakan itu agar tidak membebankan pihak pembeli.

“Pengguna juga tidak menge­tahui caj 20 sen tersebut dibayar atau diderma kepada siapa sehingga menimbulkan tanda tanya kerana mereka tidak diberitahu tentang perkara itu. Jika benar, sediakan alternatif lain untuk memudahkan pengguna membeli-belah tanpa membebankan mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Tan Sri Noh Omar dalam kenyataannya berikrar untuk menghapuskan caj 20 sen bagi setiap penggunaan plastik yang dikuatkuasakan Kerajaan PKR Selangor pada 1 Januari tahun lalu itu hingga membebankan pengguna, jika BN berjaya kembali mentadbir Selangor.

Sementara itu, Tim­­balan Pre­si­den Ga­­­bungan Per­sa­tuan-Per­­satuan Peng­guna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman turut menyatakan so­­kongan terhadap peng­hapusan caj 20 sen itu de­ngan mencari alternatif lain untuk mengurangkan penggunaan beg plastik di negara ini.

“Saya menyokong penghapusan caj 20 sen tersebut kerana masalah beg plastik ini tidak akan berkurangan sekiranya mengenakan sebarang caj yang tinggi namun, perlu ada mekanisme yang memberi kesan segera untuk me­ngurangkan penggunaan beg plastik.

“Antara alternatif lain yang boleh dilaksanakan adalah setiap pasar raya boleh menyediakan troli yang mencukupi, beg kertas atau kotak bagi menggantikan beg plastik untuk memudahkan pengguna membawa barangan yang dibeli,” katanya.

Di samping itu, pelaksanaan caj 20 sen bagi penggunaan beg plastik yang dikuatkuasakan oleh kerajaan PKR itu langsung tidak membawa manfaat kepada pengguna sejak mula diperkenal awal tahun lalu.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, dasar caj 20 sen itu dilihat tidak mendatang­kan sebarang kesan terhadap usaha pemuliharaan alam sekitar.

“Dasar yang diperkenalkan itu tidak membantu ke arah usaha pemuliharaan alam sekitar malah ia dilihat semakin membebankan pengguna. Apabila mengenakan caj 20 sen tindakan itu langsung tidak memberi kesan sepenuhnya kepada alam sektar kerana beg plastik tergolong ‘barang sekali pakai’ sehingga memperbanyakkan sampah.