Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
CAJ CECAH 30 PERATUS MEMBEBANKAN – KOSMO – 17/06/2021
17 Jun 2021

PETALING JAYA – Peniaga yang bergantung harap kepada per­khidmatan penghantaran makanan merayu agar pengendali aplikasi itu mengurangkan kadar komisen yang dianggap tinggi.

Peniaga dan pemilik restoran mendakwa, mereka perlu membayar komisen kepada pengendali aplikasi itu sehingga 30 peratus daripada harga setiap item makanan atau minuman yang ditempah para pelanggan.

Keadaan itu menyebabkan ramai peniaga terpaksa menaikkan harga makanan atau minuman untuk menampung bayaran caj tersebut bagi mengelakkan mereka mengalami kerugian.

Seorang peniaga nasi ayam, Faizul Izuwan berkata, ramai peniaga mula terkesan dengan kadar komisen yang dikenakan ketika ini, namun mereka tiada pilihan kerana perlu menggunakan perkhidmatan itu demi ke­langsungan perniagaan.

Menurutnya, rata-rata peniaga dan pemilik restoran kini sememangnya bergantung harap kepada perkhidmatan penghantaran makanan terutamanya sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh ketika ini.

“Caj yang dikenakan kepada kami mencecah 30 peratus, memang agak tinggi. Sebagai contoh, setiap hari saya terima kira-kira 500 pesanan dan perlu membayar caj komisen kira-kira RM200 kepada penyedia aplikasi itu,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Caj penghantaran antara kos yang perlu ditanggung pembeli yang menggunakan khidmat tempahan makanan secara online. – GAMBAR HIASAN

Ujarnya, keadaan itu membebankan mereka yang juga perlu memikirkan kos-kos lain seperti bahan mentah, sewa tapak dan membayar gaji pekerja.

“Susulan caj yang tinggi itu, kami pun terpaksa menjual makanan dengan harga lebih tinggi menerusi pembelian online.

“Misalnya, harga nasi ayam yang dibeli secara terus di kedai ialah RM6 sebungkus, namun saya jual pada harga RM7.50 menerusi aplikasi itu,” ujarnya.

Faizul berkata, kenaikan harga itu terpaksa dibuat bagi mengimbangi semula caj yang dikenakan supaya mendapat sedikit keuntungan ketika PKP.

Sementara itu, Pengerusi Pemilik Restoran dan Kafe Negeri Melaka, Ahmad Shukri Abdul Shukor juga menyifatkan caj yang dikenakan kepada peniaga sebagai terlalu tinggi.

Katanya, ada peniaga juga bukan sahaja membayar caj sehingga 30 peratus, malah tambahan enam peratus lagi bagi Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Jadi, kami minta penyedia aplikasi itu mengurangkan sedikit caj kepada peniaga,” ujarnya.

Seorang lagi peniaga, Elli Farhana Azisman berkata, kadar komisen mungkin boleh dikurangkan beberapa peratus lagi bagi memberikan situasi menang-menang antara penyedia aplikasi itu dan rakan niaga.

“Kami faham, caj 30 peratus itu merangkumi pelbagai aspek, namun kami juga ingin sedikit keuntungan dan tidak mahu membebankan pembeli,” katanya.

Seorang penghuni asrama pekerja mengambil bungkusan daripada penghantar makanan di Seksyen 13, Shah Alam pada 22 Januari lalu.

Pengguna pula kena ‘tolong’ peniaga bayar komisen

PETALING JAYA – Pengguna perkhidmatan penghantaran makanan bukan sahaja terpaksa menanggung kos penghantaran, malah caj komisen yang dikenakan kepada peniaga juga ditanggung mereka secara tidak langsung.

Seorang pekerja swasta, Mohd. Rashid Mohd. Ali, 29, berkata, sebagai pembeli, dia lebih terbeban kerana menanggung dua kos itu.

Katanya, terdapat peniaga burger menaikkan harga jualan sehingga RM2 bagi setiap makanan yang dijual.

“Burger berharga RM6.50 akan dijual RM8.50 menerusi online, begitu juga yang berharga RM7 akan dijual pada harga RM9.

“Peniaga tidak mahu menanggung rugi, jadi caj komisen yang dikenakan kepada mereka, kami pula yang bayar,” katanya.

Peniaga produk kecantikan, Nur Ain Muhd. Rasool, 34, pula berharap kerajaan meneliti semula caj-caj yang dikenakan penyedia perkhidmatan itu kepada peniaga dan pengguna.

Katanya, dia memahami tindakan segelintir peniaga yang terpaksa menaikkan harga jualan kerana perlu menanggung komi­sen sehingga 30 peratus, namun tindakan itu menyebabkan pengguna pula terbeban.

“Pengguna yang tiada pilihan terpaksa menggunakan aplikasi itu terutamanya sewaktu PKP ini.

“Walaupun ada dalam kalangan pengguna yang tidak menggunakan perkhidmatan ini secara kerap, ia tidak mengubah hakikat mereka harus mengeluarkan wang yang lebih setiap kali membeli secara online,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan perlu campur tangan dalam isu tersebut kerana yang menjadi mangsa adalah pengguna.

“Kerajaan sepatutnya mene­tapkan peratusan yang boleh dikenakan terhadap peniaga adalah tidak terlalu tinggi. Mungkin tidak lebih 10 peratus atau kadar yang lebih munasabah.

“PPIM pernah menerima ­adu­an berkaitan isu komisen yang dikenakan oleh syarikat pengendali aplikasi yang dikatakan terlalu tinggi.

“Kebanyakan aplikasi per­khidmatan itu sudah lama beroperasi, maka sepatutnya kos pengurusan mereka sudah tidak terlalu besar sehingga 30 peratus komi­sen yang dikenakan,” kata­nya.

Nadzim juga mencadangkan kerajaan supaya menubuhkan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menyediakan perkhidmatan itu kepada pengguna.

Menurutnya, GLC tersebut perlu menyediakan perkhidmatan itu yang bukan bersifat mencari keuntungan semata-mata, sebaliknya membantu rakyat.

“Perkhidmatan penghantaran makanan adalah sektor yang sa­ngat penting kepada rakyat terutama ketika PKP ini,” ujarnya.

Artikel oleh: Kosmo

CAJ CECAH 30 PERATUS MEMBEBANKAN

https://www.kosmo.com.my/2021/06/17/caj-cecah-30-peratus-membebankan/