Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
CAJ KONSULTASI HOSPITAL, KLINIK SWASTA DIJANGKA NAIK – BERITA HARIAN – 28/8/18
28 Aug 2018

BH ( caj konsultasi hospital, klinik swasta dijangka naik) 28.8.18

PUTRAJAYA: Kadar caj perundingan pengamal perubatan dan doktor bagi perkhidmatan di klinik dan hospital swasta di seluruh negara dijangka dinaikkan antara RM30 hingga RM125.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Azman Abu Bakar, berkata pada masa ini caj yang dikenakan adalah pada kadar RM10 hingga RM35 dan tidak disemak hampir 12 tahun.

Beliau berkata, cadangan bagi semakan caj berkenaan turut mendapat sokongan bukan sahaja pengamal perubatan, malah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili pengguna.

Katanya, Kementerian Kesihatan mengadakan sesi ‘town hall’ hari ini, untuk berbincang lebih lanjut bagi mendapatkan pandangan mengenai penetapan kadar harga konsultasi bagi doktor.

“Kadar ini tidak diperbaharui agak lama iaitu sejak 2006, dan kami dapat banyak saranan supaya ia diperkemaskan balik.

“Cadangan ini akan dibentangkan kepada Menteri Kesihatan untuk keputusan sebelum dihantar kepada Pejabat Peguam Negara untuk diperhalusi. Sekiranya dibenarkan, perkara ini akan dibawa ke peringkat mesyuarat Kabinet untuk keputusan.

“Cadangan bagi semakan ini juga sudah peringkat akhir. Jadi, saya rasa tidak akan ada masalah dan tidak akan ambil masa lama kerana kita bukan bermula dari kosong,” katanya kepada pemberita selepas sesi berkenaan di sini, hari ini.

Sesi itu turut dihadiri wakil Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Mengulas lanjut, Dr Azman berkata, sebelum keputusan dicapai, Kementerian Kesihatan akan mendengar pandangan semua pihak bagi melihat kewajaran semakan.

“Bagi pemegang taruh dan NGO, semua memahami sejak 2006 hingga 2018, kos sara hidup dan harga pelbagai produk dan perkhidmatan sudah meningkat, jadi mereka setuju bahawa caj ini patut dinaikkan.

“Jadi, kita perlu fikirkan juga dari segi kebajikan mereka (pengamal perubatan dan doktor swasta),” katanya.

Difahamkan, caj konsultasi bagi doktor swasta di Malaysia antara yang termurah di rantau ASEAN. Vietnam mengenakan caj RM80, Indonesia (RM100) dan Singapura, RM120.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata berdasarkan keadaan kos sara hidup semasa, adalah adil sekiranya caj berkenaan disemak.

“Kita perlu lihat sekeliling dan bersikap adil, doktor juga bekerja dan perlu pendapatan. Jadi, semakan caj ini adalah sesuatu yang perlu disokong,” katanya.

 

Artikel Oleh : Berita Harian

CAJ KONSULTASI HOSPITAL, KLINIK SWASTA DIJANGKA NAIK

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/08/466641/kenaikan-caj-perundingan-doktor-dipertimbang