Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
CAJ RM1,000 TAK MASUK AKAL! – HARIAN METRO – 28/01/2021
28 Jan 2021

Ada pusat perubatan serta klinik swasta didakwa mengenakan caj sehingga RM1,000 kepada setiap individu yang menjalankan ujian saringan Covid-19. 

Ia didedahkan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan (gambar) yang mendakwa sudah menerima beberapa aduan berkaitan caj melampau terbabit.

“PPIM dimaklumkan, ada pusat perubatan dan klinik swasta yang mengenakan caj antara RM700 hingga RM1,000 bagi setiap individu yang menjalani ujian saringan Covid-19.

“Harga itu tidak masuk akal dan membebankan pengguna. Pihak terbabit dilihat sengaja mengambil kesempatan terhadap orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan mereka.

“Dalam keadaan ekonomi yang terkesan akibat pandemik Covid-19, sudah tentu bukan mudah untuk orang ramai membelanjakan kos yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas pelepasan misi bantuan pasca banjir di pejabat PPIM di sini, semalam.

Nadzim berkata, tindakan pusat perubatan terbabit boleh dianggap sebagai satu penipuan dan perlu dipandang serius oleh kerajaan.

Tambahnya, kerajaan perlu campur tangan dan mengawal kos saringan Covid-19 membabitkan pusat perubatan swasta bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan.

“Jangan ada sampai RM1,000 atau lebih. Itu membebankan, saya yakin pihak hospital pun ada tanggungjawab sosial untuk membantu dalam keadaan darurat dan kesulitan dihadapi ketika ini,” katanya.

Sementara itu, ditanya berkaitan kenaikan harga barangan terutama bekalan makanan mentah semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau tidak menafikan ada peniaga mengambil kesempatan disebabkan bekalan yang terhad.

“Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu melakukan pemantauan bagi mengelak situasi lebih buruk.

“Saya juga setuju dengan cadangan masyarakat yang meminta skim kawalan harga diadakan bagi mengawal harga barangan keperluan seperti yang dilakukan ketika musim perayaan,” katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

CAJ RM1,000 TAK MASUK AKAL!