Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
‘CAJ SAJA RM100 KALAU NAK UNTUNG SANGAT’ – SINAR HARIAN – 25/09/2019
25 Sep 2019

SHAH ALAM – “Buat apa bank hendak sorok-sorok caj 50 sen hingga RM2, caj terus RM100 kalau hendak untung sangat.”

Demikian kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan kepada beberapa buah bank di negara ini bertindak mengenakan caj antara 50 sen hingga RM2 setiap kali pelanggan berurusan di kaunter, Mesin Smart Recycle (SRM) dan Mesin Deposit Cek (CQM) bermula bulan Oktober hadapan.

Beliau berkata, tindakan terkini beberapa bank berkenaan kepada pelanggan bagi tujuan bayaran kad kredit dan pinjaman kewangan mengundang rasa hairan PPIM kerana mereka tidak boleh sesuka hati mengenakan caj perkhidmatan tanpa kebenaran Bank Negara Malaysia (BNM).

Lebih mengejutkan, Nadzim menegaskan tindakan itu dibuat bukan disebabkan industri perbankan negara terkesan dengan kegawatan ekonomi dunia, sebaliknya tidak dijelaskan secara tuntas.

“Dalam hal ini, saya melihat BNM dan kesatuan bank negara ini perlu dipertanggungjawabkan kerana tidak mendapatkan pandangan pengguna mewakili majoriti pemegang saham bank-bank terlibat sebelum melaksanakan tindakan itu.

Nadzim turut bimbang senario terbaharu ini akan mewujudkan pesta naik harga perkhidmatan dalam kalangan pemain industri lain tanpa kawalan berikutan tindakan penguatkuasaan longgar oleh agensi kerajaan bertanggungjawab.

Menurutnya, kesemua bank terbabit dengan keputusan mengenakan caj membebankan pelanggan itu patut diambil tindakan undang-undang dan dikenakan denda setimpal.

“Melihat situasi terkini PPIM turut menyarankan kerajaan mengkaji balik fungsi BNM dalam mengawal selia industri perbankan negara ini supaya peranan agensi kerajaan itu lebih membela nasib pengguna dan pelanggan terdiri rakyat biasa.

“PPIM turut menyarankan pengguna dan pelanggan bank menyuarakan protes terhadap keputusan pihak bank secara berterusan dan besar-besaran, melalui penyerahan surat aduan kepada BNM dan PPIM sehingga pihak bank bersetuju memulangkan semula wang caj dikutip,” katanya.

Semalam Sinar Harian melaporkan BNM diminta campur tangan dalam isu caj perkhidmatan dikenakan pihak bank ke atas pelanggan kerana perlaksanaannya kelak dilihat membebankan pengguna.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, bank tidak sewajarnya mengaut keuntungan dengan cara sedemikian kerana sudah memperoleh keuntungan melalui simpanan pelanggan dan perkhidmatan pinjaman.

Artikel oleh: Sinar Harian

‘CAJ SAJA RM100 KALAU NAK UNTUNG SANGAT’

https://www.sinarharian.com.my/article/49228/BERITA/Nasional/Caj-terus-RM100-kalau-nak-untung-sangat