Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
‘CARI PENYELESAIAN TUNTAS ISU BEKALAN AIR’ – BERITA HARIAN – 20/10/2020
20 Oct 2020

KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor digesa mempertimbangkan penyelesaian tuntas menerusi penubuhan jawatankuasa bertindak merangkumi pelbagai pihak khusus untuk sumber air.

Tampil mengemukakan cadangan itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berkata, jawatankuasa berkenaan boleh dianggotai wakil daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, ia bagi memastikan aspek pengurusan sumber air di peringkat negeri menjadi lebih telus dan bebas daripada sebarang unsur penyelewengan, sekali gus menjaga kepentingan rakyat sebagai pengguna.

“PPIM juga menggesa hukuman lebih berat bagi kesalahan berkaitan pencemaran sumber ini, termasuk dengan mengkategorikan ia dalam jenayah berat memandangkan air adalah sumber kehidupan.

“Kerajaan negeri melalui PBT harus mengenakan syarat lebih ketat, terutama membabitkan pembuangan efluen dengan mengambil kira lebih parameter dan agen berpotensi menyebabkan pencemaran.

“Kerajaan negeri harus meningkatkan kempen kesedaran kepada pengguna mengenai tanggungjawab menjaga kebersihan sumber air adalah juga tanggungjawab asas mereka.

“Masyarakat juga harus tahu sumber air dunia kini hanya tinggal tiga peratus termasuk yang sedia tercemar.

“Sikap lebih telus dengan memberi gambaran yang jelas terhadap bilangan sungai tercemar pada tahap tertentu perlu dbuat supaya rakyat menyedari tahap kebersihan sungai dan sumber air berhampiran mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, semalam dilaporkan berkata, siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menjurus kepada tiga kawasan kilang yang dipercayai terbabit dalam pencemaran bau di Sungai Gong dan mengalir ke Sungai Selangor.

Keadaan itu sekali gus menjejaskan bekalan air kepada kira-kira lima juta pengguna di Lembah Klang.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Norlin Jaafar, pula berkata tumpuan siasatan kini membabitkan kawasan perindustrian kecil Sungai Bakau dan Taman Industri Velox.

PPIM turut mencadangkan satu insentif menarik ditawarkan kepada mana-mana individu sekiranya melaporkan insiden pencemaran dan sebarang salah laku mengenai isu alam sekitar.

“Diharapkan rentetan peristiwa gangguan air yang berulang-ulang ini tidak menyebabkan rakyat merusuh dan bertindak mengambil undang-undang di tangan mereka sendiri akibat kebosanan dan kemarahan yang meluap-luap.

“Adalah menjadi satu anomali di sebuah negara yang kaya dengan sumber air tawar tetapi rakyat terus menderita akibat kekurangan air!” katanya.

Artikel oleh: Berita Harian

‘CARI PENYELESAIAN TUNTAS ISU BEKALAN AIR’

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/10/743973/cari-penyelesaian-tuntas-isu-bekalan-air