Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
CARUMAN PERKESO PEMANDU TEKSI, E-HAILING JOHOR MASIH RENDAH – WACANA – 26/09/2021
27 Sep 2021

JOHOR BAHRU, 26 Sept -– Kurang daripada 50 peratus individu yang terlibat dalam penyediaan perkhidmatan pengangkutan seperti teksi, e-hailing dan kereta sewa di negeri ini yang mencarum dalam skim perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Pengarah PERKESO Johor, Tong Sing Chuang berkata, daripada lebih 5,000 orang yang terlibat dalam perkhidmatan itu, hanya seramai 2,374 yang telah mencarum.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut hanya seramai 504 orang adalah pemandu teksi.

“Kita telah memperkenalkan caruman buat mereka yang melakukan pekerjaan ini, namun setakat ini jumlah yang telah mencarum di Johor masih rendah.

“Kita juga faham kekangan dan bebanan yang mereka hadapi, apatah lagi dalam situasi pandemik COVID-19 yang mencabar ketika ini, namun kita akan terus meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan caruman PERKESO,” katanya selepas menghadiri Program Sinergi CSR Infaq Rezeki Jelajah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Bersama PERKESO di Menara PERKESO Johor, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Cawangan Dasar dan Strategi Sumber Manusia PERKESO, Mohd. Razmi Khalid; Pengarah Bahagian Pengurusan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Ghazali Abd. Rahman dan Ketua Operasi Unit Kebajikan PPIM, Siti Khadijah Hassan Berseri.

Sing Chuang berkata, sejak pandemik COVID-19 melanda negara pada Mac tahun lalu, pihaknya telah menerima lebih 1,000 permohonan dalam pelbagai kategori daripada pencarum bagi mendapatkan pampasan akibat wabak berkenaan.

“Daripada jumlah tersebut, lebih 20 kes tuntutan adalah melibatkan kematian pencarum akibat dijangkiti COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Razmi memaklumkan, pihaknya akan terus meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya golongan pemandu untuk membuat caruman dalam skim yang dilaksanakan PERKESO.

“Keutamaan mereka ketika ini adalah untuk menyediakan keperluan asas buat keluarga, seperti makanan harian dan keperluan persekolahan anak-anak,” katanya.

Mengenai program tersebut, PERKESO dengan kerjasama lima agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah menyediakan 100 kotak makanan untuk diagih-agihkan kepada pemandu teksi yang terjejas di daerah ini.

Artikel oleh: Wacana

CARUMAN PERKESO PEMANDU TEKSI, E-HAILING JOHOR MASIH RENDAH

https://wacana.my/caruman-perkeso-pemandu-teksi-e-hailing-johor-masih-rendah/