Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
DAGING IMPORT HARAM: PPIM MAHU SEMUA AGENSI LEBIH PROAKTIF – KENYATAAN MEDIA PPIM – 15/12/2020
15 Dec 2020

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) merasa amat terkejut dengan penemuan daging yang telah ‘dihalalkan’ di sebuah gudang di Johor Bahru baru-baru ini. 1,500mt daging yang ditemui itu bukanlah satu jumlah yang kecil dan apa yang lebih membimbangkan ialah samada daging-daging sedemikian sudah lama berada di pasaran dan menjadi santapan umat Islam di negara ini.

Lebih mengejutkan lagi ialah bagaimana tiada satu pun agensi kerajaan yang dapat mengesan aktiviti ini walaupun ia merupakan satu operasi yang besar. Sehingga kini tiada sebarang tangkapan dibuat oleh pihak berkuasa berkaitan dengan perbuatan khianat ini.

PPIM mendesak agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memperketatkan lagi penggunaan logo Halal Malaysia dan juga proses pengiktirafan, verifikasi dan semua berkaitan dengan soal-soal pengimportan daging ini.

PPIM juga menyeru semua agensi berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar agar lebih berhati-hati dan proaktif agar perkara ini tidak berulang lagi.

PPIM juga mendesak agar Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) turun ke padang dan mengesan apa jua bentuk rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa di setiap titik kritikal logistik, pentadbiran dan pengurusan pengimportan daging luar ini. Mereka mesti dibawa ke muka pengadilan dan carilah mereka sehingga ke lubang cacing sekali pun.

Amatlah meyedihkan ketika kerajaan berusaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab halal terulung dunia dan sebagai penjana ekonomi negara yang utama, pengkhianat-pengkhianat ini masih bermaharajalela dan memburukkan lagi keadaan sosial dan kemaslahatan umat Islam di Malaysia.