Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kesemua mereka telah membelanjakan antara RM50,000 hingga RM200,000 untuk mendapatkan perkhidmatan syarikat itu yang beroperasi di Shah Alam, Selangor.

“Siasatan kami mendapati syarikat itu tidak mempunyai Lesen Khas Pengurusan Umrah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta tiada kelulusan Pengelola Jemaah Haji,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat PPIM, Kuala Lumpur semalam.

Nadzim juga menyarankan agar kerajaan mewujudkan satu mekanisme kawalan haji dan umrah bagi mengelakkan penipuan seperti itu berulang lagi.

Sementara itu, seorang mangsa, Datin Seri Norlin Ismail, 44, berkata, beliau dan suaminya turut terpedaya dengan janji syarikat tersebut yang mahu membawa mereka mengerjakan haji ke Mekah.

Bagaimanapun, katanya, mereka gagal menunaikan haji apabila syarikat itu hanya membelikan tiket penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Dubai, Emiriyah Arab Bersatu tetapi tiada sambungan penerbangan ke Jeddah.

Menurutnya, beliau sudah membayar wang sebanyak RM55,000 manakala suaminya yang bergelar Datuk enggan membuat bayaran selagi tidak mendapat visa dan tiket penerbangan.

“Kami turut cuba mendapatkan penjelasan daripada syarikat itu melalui telefon tetapi pemiliknya enggan memberi sebarang maklum balas,” dakwa wanita berkenaan lagi.