Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
DBKL TANGGUH ARAHAN PEROBOHAN TAPAK RESTORAN HARAM – KOSMO – 18/06/2019
19 Jun 2019

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersetuju untuk menangguhkan perobohan tapak restoran milik Penjelajah Grand Slam pertama Malaysia, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin yang terletak di Jalan Pantai Murni, Lembah Pantai hari ini.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata Restoran Q Noodle n Grill milik Muhammad Muqharabbin itu dilaporkan telah melanggar syarat bangunan DBKL kerana mendirikan struktur bangunan tanpa mendapat kelulusan.

“Sebelum ini pemilik restoran itu telah menghantar pelan struktur bangunan itu tetapi ditolak atas alasan status tanah bukan komersial dan jarak bangunan yang rapat dengan tanah jiran belakang.

“Namun setelah pihak kami berbincang dengan Menteri Wilayah Persekutuan (Khalid Abdul Samad), beliau bersetuju untuk menangguhkan perobohan itu kerana kos kerugian itu terlalu tinggi untuk ditanggunng oleh Muhammad Muqharabbin dan memberi peluang kepadanya untuk mengalihkan premisnya,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya selain arahan perobohan yang diterima oleh pemilik restoran, lesen perniagaan mereka juga turut dibatalkan.

Sementara itu, Muhamad Muqharabbin yang juga pemegang rekod pendakian dan penjelajahan tujuh benua memberitahu, beliau mula membina struktur itu pada November tahun lepas dan pernah disita pada bulan Februari dan dimaklumkan untuk menghantar pelan dan mendapat kelulusan daripada Pusat Khidmat Setempat (OSC) DBKL.

“Bagaimanapun, OSC menolak permohanan saya dengan dua sebab iaitu status tanah bukan komersial dan jarak bangunan yang rapat dengan tanah jiran belakang. Saya akan hantar semula permohonan dalam dua tiga hari ini untuk mendapat kelulusan” katanya.

Dalam pada itu, DBKL dalam satu kenyataan berkata penyitaan pada bulan Februari lalu adalah kerana tiada kelulusan Perintah Pembangunan bagi struktur yang dibina di tapak itu.

“DBKL telah menerima surat penangguhan roboh selepas penyitaan itu pada bulan Mei dan pengusaha diberi tempoh 30 hari sehingga 15 Jun untuk mematuhi arahan notis perpindahan premis mereka.

“Keputusan DBKL untuk merobohkan struktur bangunan dan penyitaan akan dilaksanakan setelah tamat tempoh 30 hari iaitu pada hari ini namun operasi perobohan telah ditangguhkan atas arahan Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan sehingga dimaklumkan kelak,” katanya. – Bernama

Artikel oleh: Kosmo

DBKL TANGGUH ARAHAN PEROBOHAN TAPAK RESTORAN HARAM

http://www.kosmo.com.my/negara/dbkl-tangguh-arahan-perobohan-tapak-restoran-haram-1.920010