Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
DEKLARASI CYBERJAYA TUNTUT RAKYAT AKUR KEPADA PERLEMBAGAAN, RUKUN NEGARA – ISMAWEB – 10/10/2020
12 Oct 2020

CYBERJAYA, 22 Safar 1442H, Sabtu – Sebanyak 36 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan serta syarikat korporat tempatan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) sempena Deklarasi Cyberjaya 10.10.2020.

Deklarasi itu yang dianjurkan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) meminta gagasan NGO, syarikat korporat, agensi kerajaan dan seluruh komuniti mengembalikan paksi kefahaman dalam teras pemikiran dan tingkah laku seluruh rakyat berbilang kaum serta fahaman dalam negara ini.

PPIM menjelaskan, gesaan itu bertujuan agar semua warganegara wajib akur dan patuh kepada undang-undang watan yang berteraskan kepada Perlembagaan dan Rukun Negara.

Jelasnya, cabaran dalam isu agama, bahasa, hak istimewa, pencabulan hak tanah dan harta, diskriminasi dalam bidang perniagaan, pekerjaan dan kerjaya menjadi faktor utama mengapa deklarasi ini perlu disokong dan diperkukuhkan dalam kesatuan ummah serta diarusperdanakan secara bersungguh-sungguh.

Bahkan dizahirkan dengan tindakan sepenuh hati oleh penerimanya dengan amanah dan sepenuh integriti dalam mencapai hasrat ini serta seluruh pentadbiran kehidupan, katanya lagi.

“Dengan termeterainya deklarasi ini, kami mewakili pertubuhan-pertubuhan yang mempunyai peranan-peranan strategik, beriltizam dengan sepenuh hati membawa agenda memperkukuhkan kesatuan ummah ini dengan memupuk nilai-nilai sejagat berlandaskan prinsip Rukun Negara.

“… beserta mematuhi kehendak-kehendak undang-undang dan Perlembagaan Malaysia,” kata PPIM menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Turut bekerjasama menjayakan deklarasi berkenaan adalah Yayasan Patriot Negara Malaysia; Persatuan Pergerakan Keadilan Keamananan dan Kemanusiaan Antarabangsa; Pertubuhan Kemanusiaan Rakyat Malaysia dan Pertubuhan Anti Diskriminasi dan Salahlaku bersama Gabungan NGO Islam dan Melayu Malaysia.

Selain itu, Pertubuhan Komuniti Sokong Peniaga Pembayar Zakat (SPPZ) serta Pertubuhan Pejuang Warisan Islam Malaysia (PEWARIS).

Deklarasi itu turut mengajak semua pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan prihatin mengenai isu Tanah Rizab Melayu dan bergerak kerja bagi memastikan orang Melayu dapat menghindari nasib yang melanda bangsa Palestin, Yaman, Syria, Champa, Rohingya, Siam dan bangsa serta peradaban lain.

“PPIM berharap agar Deklarasi Cyberjaya dan perjanjian persefahaman yang dimeterai ini akan dapat memberi manfaat kepada seluruh masyarakat,” katanya.

Artikel oleh: Ismaweb

DEKLARASI CYBERJAYA TUNTUT RAKYAT AKUR KEPADA PERLEMBAGAAN, RUKUN NEGARA

https://ismaweb.net/2020/10/10/deklarasi-cyberjaya-tuntut-rakyat-akur-kepada-perlembagaan-rukun-negara/