Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
DIA BUAT LAGI ! – HARIAN METRO – 30/8/18
30 Aug 2018

Metro ( buat hal lagi ) 30.8.18
Metro ( buatt hal lagi ) 30.8.18

Tangisan tanpa henti seorang ibu muda di Balai Polis Bukit Sentosa, Rawang, kelmarin, menggambarkan kegembiraanya kerana dipertemukan semula dengan bayinya yang baru seminggu dilahirkan.

Ini kerana dia yang berusia 17 tahun melalui hari-hari mencemaskan apabila gagal mendapatkan semula bayinya yang dikatakan ditempatkan di sebuah pusat jagaan di Batu Caves, Selangor sejak 21 Ogos lalu.

Katanya, dia bersyukur kepada Allah kerana dipertemukan semula dengan bayi perempuannya dan akan menjaganya dengan penuh kasih sayang.

Sebaik dipertemukan, dia menangis teresak-esak melihat wajah bayi comel itu dan berasa kekok kerana pertama kali ingin menyusukan anaknya.

“Saya tidak pandai hendak menyusukan, macam mana ya? Selepas bersalin pada 20 Ogos lalu, saya hanya sempat melihat anak sehari selepas itu.

“Itu pun sekejap saja sebelum dimaklumkan dia dibawa pergi ke sebuah pusat jagaan di Batu Caves.

“Bila saya hendak dapatkan semula anak saya Isnin lalu, saya dimaklumkan dia diserahkan kepada keluarga angkat sedangkan saya tidak tahu apa-apa.

“Kemudian saya diminta membayar RM9,500 untuk mendapatkan anak saya kembali,” katanya yang membuat aduan dalam talian kepada Ketua Biro Pembangunan Sosial, Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Dr Mazlina Abu Bakar, Sabtu lalu.

Menurutnya, dia tidak pernah memberikan sebarang keizinan atau persetujuan untuk menyerahkan bayinya kepada individu lain termasuk keluarga angkat terbabit.

Katanya, dia dihantar ke pusat jagaan berkenaan oleh ahli keluarga selepas disahkan mengandung tidak sah taraf sebulan lalu untuk mendapatkan penjagaan.

Di sana, dia mendapati ada sembilan wanita dengan dua daripadanya sedang berpantang, manakala selebihnya mengandung dan dijaga di pusat terbabit.

Ketika pertemuan dengan bayinya semula kelmarin, Dr Mazlina turut membantu mangsa menyusukan anaknya sebelum dia diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan lanjut..

Mengulas lanjut, Dr Mazlina berkata, pengadu membuat aduan kepada bironya pada Sabtu lalu sebelum mereka pergi ke pusat jagaan berkenaan di Bukit Beruntung, dua hari kemudian.

Bagaimanapun, katanya, bayi berkenaan tiada di situ dan difahamkan dibawa ke sebuah lagi pusat jagaan di Batu Caves.

“Kami curiga dengan perkara itu dan cara kes ditangani kerana kami mendapat maklumat pengusaha itu pernah dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan pemerdagangan bayi,” katanya.

Dr Mazlina berkata, selepas laporan dibuat, bayi itu dipertemukan semula dengan ibunya di Balai Polis Bukit Sentosa, petang kelmarin.

Menurutnya, pihaknya difahamkan tiga wanita dipercayai pemilik dan penjaga pusat jagaan terbabit ditahan polis untuk siasatan lanjut.

“PPIM mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai kerana kami bimbang wujud elemen tidak sepatutnya selain pelanggaran undang-undang daripada mana-mana pusat jagaan seperti itu,” katanya.

Ini kejadian kedua membabitkan pengendali pusat jagaan sama selepas akhbar ini pada 4 Ogos 2015 secara eksklusif melaporkan sindiket penjualan bayi ditumpaskan Unit Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Bukit Aman selepas wartawan Harian Metro melakukan risikan dan penyamaran selama dua bulan.

Wartawan yang menyamar sebagai pembeli untuk mendapatkan seorang bayi dikehendaki membayar RM9,500 iaitu pendahuluan RM4,000 manakala bakinya ketika bayi diserahkan di hospital.

 

Artikel Oleh : Harian Metro

DIA BUAT LAGI !