Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
DILEMA HARGA BARANGAN SEKOLAH – SINAR HARIAN – 25/12/2019
25 Dec 2019

ISU kenaikan harga barangan tidak akan pernah terhenti. Saban tahun, saban musim, rakyat sentiasa berdepan dengan masalah kenaikan harga barang.

Menghampiri hujung tahun, golongan ibu bapa terkesan dan tertekan dengan harga barangan persekolahan anak-anak yang sentiasa meningkat.

Secara purata, ibu bapa membelanjakan sekurang-kurangnya RM300 untuk setiap seorang anak bagi menyediakan pakaian dan kelengkapan sekolah. Itu tidak termasuk keperluan buku aktiviti dan pembayaran yang dikenakan oleh sekolah agama.

Isu itu mendapat perhatian Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM). Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berpendapat, kerajaan perlu campur tangan dalam memastikan harga barangan persekolahan kekal relevan.

Beliau mencadangkan kerajaan membeli barangan persekolahan secara pukal dan kemudiannya mengagihkan kepada sekolah di seluruh Malaysia.

Cadangan itu diusul selepas pihaknya menerima pelbagai aduan daripada pengguna berkaitan masalah barangan dan peralatan sekolah anak-anak yang mahal.

Meskipun terdapat potongan harga yang ditawarkan, namun keadaan itu tetap tidak melegakan pengguna kerana terdapat harga diskaun yang diragui.

Isu berkaitan harga potongan selepas diskaun turut mendapat perhatian penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang melakukan pemeriksaan di premis menjual barangan sekolah di seluruh Malaysia.

Pengarah Bahagian Penguat kuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, inisiatif tersebut bagi melindungi hak pengguna terutama ibu bapa agar tidak menjadi mangsa penipuan.

Menyebut tentang isu harga barangan, semua pihak perlu mainkan peranan. Kerajaan perlu mengawal masalah yang sering membelenggu rakyat. Pihak berkuasa perlu memastikan peniaga tidak sewenang-wenangnya memperdaya pengguna dengan taktik-taktik jualan promosi atau harga runtuh.

Pengguna pula perlu membuat kajian sebelum membeli barang dan berkongsi maklumat sekiranya tahu terdapat kedai menjual barangan persekolahan dengan harga berpatutan.

Artikel oleh: Sinar Harian

DILEMA HARGA BARANGAN SEKOLAH

https://www.sinarharian.com.my/article/63319/Lidah-Pengarang/Dilema-harga-barangan-sekolah