Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
DPMM GERAK USAHAWAN KUTIP SUMBANGAN BANTU MANGSA BANJIR – MALAYSIA GAZETTE – 21/01/2021
22 Jan 2021

KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) sekali lagi tampil menggerakkan usahawan yang menjadi tulang belakang pertubuhan untuk mengutip sumbangan bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara.

Timbalan Presidennya, Norsyahrin Hamidon berkata, selain sumbangan dalam kalangan usahawan, DPMM turut menerima sumbangan daripada orang awam melalui kempen yang dilaksanakan di laman sosial.

Katanya, usaha itu turut mendapat sokongan daripada beberapa selebriti tanahair bagi mencapai matlamat tabung kutipan.

“Inisiatif kali ini bukan sahaja tertumpu kepada sumbangan makanan dan pakaian, malah ia turut melibatkan peralatan elektrik seperti mesin basuh kerana DPMM memahami kerumitan mangsa banjir yang kehilangan harta benda akibat bencana banjir apatah lagi ketika berdepan dengan pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ahli DPMM berada di seluruh negara dan melalui mereka, DPMM mendapat maklumat mengenai kesukaran mangsa banjir. Bagi menggerakkan inisiatif ini, DPMM turut menerima sokongan kuat daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Norsyahrin berkata, penglibatan APM sejajar dengan peranan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri itu sebagai pasukan barisan hadapan dalam menghadapi bencana sekaligus memudahkan usaha mengenalpasti golongan yang perlu dibantu akibat bencana banjir.

Ujarnya, APM akan turut bekerjasama dengan pihak Jawatankuasa Bencana Daerah bagi mengenalpasti golongan memerlukan dan ia akan memastikan beban yang didepani dapat diringankan.

“DPMM mengharapkan sumbangan ini dapat dihantar kepada penerima selepas PKP berakhir dan ketika ini DPMM masih lagi membuka tabung sumbangan kepada orang ramai,” tambahnya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh melakukannya melalui Nombor Akaun Maybank : 5643 2413 7896 dengan menulis rujukan Misi Bantuan Banjir atau melalui laman web khas yang ditaja oleh sumbangan.com di https://sumbangan.com/DPMM/BanjirDPMM.

Katanya lagi, sehingga hari ini, jumlah sumbangan yang diterima bernilai hampir RM400,000 dan jumlahnya meningkat setiap hari.

Artikel oleh: Malaysia Gazette

DPMM GERAK USAHAWAN KUTIP SUMBANGAN BANTU MANGSA BANJIR

https://malaysiagazette.com/2021/01/21/dpmm-gerak-usahawan-kutip-sumbangan-bantu-mangsa-banjir/