Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
DPMM, PPIM JALIN KERJASAMA MANFAAT PENIAGA DAN PENGGUNA ISLAM – BERITA HARIAN – 16/09/2020
17 Sep 2020

KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menjalin kerjasama strategik dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) untuk menjamin ekosistem perniagaan dan kepenggunaan yang memanfaatkan peniaga serta pengguna Islam di negara ini.

Presidennya, Dr Abdul Halim Husin, berkata kerjasama itu memberi ruang kepada DPMM untuk bekerjasama dan berkongsi maklumat dengan PPIM bagi mengatasi masalah yang dihadapi peniaga serta pengguna berhubung perkhidmatan dan produk yang terbaik kepada pengguna khususnya bagi masyarakat Islam di negara ini.

Beliau berkata, kerjasama strategik antara DPMM dan PPIM itu adalah berterusan dan berharap program yang akan dijalankan secara bersama kelak akan mendapat sambutan peniaga serta pengguna.

Katanya, peniaga dan pengguna mempunyai hubungan yang tidak boleh dipisahkan, justeru kedua-dua pihak perlu saling bantu membantu bagi menjamin kesejahteraan bersama.

“Kerjasama ini adalah usaha untuk menyediakan ekosistem yang berlandaskan Islam yang memanfaatkan peniaga dan pengguna. Malah, ia juga untuk menjamin kemampanan supaya pengguna terutama orang Islam dapat menggunakan produk patuh Syariah, sementara peniaga pula menjalankan perniagaan berlandaskan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pemeteraian persefahaman antara DPMM dan PPIM di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.

Abdul Halim berkata, kerjasama strategik itu juga membolehkan kedua-dua pihak menjalankan program supaya pengguna dan pengusaha saling memahami peranan masing-masing, sekali gus mengelakkan pengambilan untung berlebihan dalam kalangan peniaga dan lebih adil kepada pengguna.

Sementara itu, Nadzim berkata, PPIM bersedia dan terbuka untuk bekerjasama dengan DPMM dalam memastikan ekosistem perniagaan dan kepenggunaan yang lebih adil, sekali gus memanfaatkan semua pihak bukan saja orang Islam, malah orang bukan Islam.

Beliau berkata, kerjasama itu juga membolehkan peniaga mendapat input yang tepat untuk menghasilkan produk yang berkualiti, selamat dan mematuhi Syariah serta menepati kehendak pengguna Islam.

“Kerjasama ini menjadi platform kepada peniaga untuk lebih telus dalam menawarkan perkhidmatan dan produk kepada pengguna, sementara pengguna pula menikmati perkhidmatan dan produk yang bagus, berkualiti dan selamat,” katanya.

Artikel oleh: Berita Harian

DPMM, PPIM JALIN KERJASAMA MANFAAT PENIAGA DAN PENGGUNA ISLAM 

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2020/09/731989/dpmm-ppim-jalin-kerjasama-manfaat-peniaga-dan-pengguna-islam