Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
DUA BERADIK CEMERLANG DI RUSIA BERDEPAN MASALAH KEWANGAN – MALAYSIA GAZETTE – 11/4/19
12 Apr 2019

Malaysia Gazette ( dua beradik cemerlang ) 12.4.19-01

KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri kini buntu untuk menyelesaikan yuran pengajian dua anak mereka yang tertunggak dalam bidang perubatan di Moscow, Rusia berjumlah RM45,000.

Azmi Abdul Aziz, 54, dan Rahayu Kasmani, 51, memberitahu anak keempat dan bongsu mereka hanya diberi tempoh sehingga 20 April ini untuk membayar tunggakan itu dan kegagalan berbuat demikian menyebabkan dua beradik tersebut dihalang menduduki peperiksaan akhir semester pada bulan depan.

Azmi berkata, sepanjang anak mereka belajar di sana sejak 2013, dia dan isteri telah menggunakan wang sendiri untuk membiayai pengajian anak mereka yang berjumlah RM400,000.

“Sebelum ini kami telah mengeluarkan wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain menjual dua buah rumah  untuk membiayai pengajian anak-anak.

“Malah sejak tahun lalu, kami juga telah cuba menjual tanah bernilai RM300,000 di Negeri Sembilan namun sehingga kini kami masih gagal mendapatkan pembeli walaupun promosi iklan telah dibuat.

“Bukan kami tidak usaha namun kini telah habis ikhtiar kerana baru-baru ini saya sudah jelaskan yuran pengajian sebanyak RM15,000 dan hari ini terpaksa memohon bantuan kerana memikirkan tarikh akhir pembayaran pada 20 April ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.

Azmi menambah, dua anaknya itu merupakan bekas Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan muncul pelajar cemerlang pada periksaan Sijil Pelajaran Malaysia apabila mendapat keputusan 10A serta mahir berbahasa Cina, Rusia dan Inggeris.

Beliau berkata, sehingga semester terkini anak keempat mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.00 dan bakal bergelar doktor pakar tulang manakala yang bongsu mendapat keputusan 3.90 ke atas setiap semester.

Jelas beliau, sebelum ini dia dan isteri masih mampu membiayai pengajian anak mereka namun sejak tahun lalu mereka berdepan masalah kewangan kerana perniagaan kedai makan yang diusahakan mengalami kejatuhan.

“Selepas mereka mendapat keputusan 10A, saya menanggung kos pengajian sebanyak RM100,000 untuk program asasi di sana kerana tiada pinjaman atau biasasiswa disediakan.

“Namun selepas lulus program asasi dan berjaya menyambung pengajian di peringkat ijazah, saya ada membuat permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam dan Majlis Amanah Rakyat pada tahun 2013 namun dimaklumkan biasiswa dan pinjaman oleh kerajaan dibekukan sementara ketika itu.

“Jadi saya mengambil keputusan untuk membiayai sendiri pengajian anak-anak di Rusia namun tidak menyangka perniagaan kami berdepan masalah hingga merumitkan keadaan,” katanya.

Azmi berkata, dia dan isteri hanya terdetik untuk membuat aduan kepada PPIM semalam dan telah dibawa ke pusat zakat bagi bertanyakan tentang bantuan pendidikan.

Sementara itu, syarikat korporat, agensi kerajaan dan orang ramai yang ingin membantu Azmi dan isterinya boleh menghubungi talian 018-2603227. – MalaysiaGazette

 

Artikel oleh : Malaysia Gazette

DUA BERADIK CEMERLANG DI RUSIA BERDEPAN MASALAH KEWANGAN

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/11/dua-beradik-cemerlang-di-rusia-berdepan-masalah-kewangan/