Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
ENAM PERSATUAN PENGGIAT SENI BUAT TUNTUTAN – BERITA HARIAN – 10/12/2019
11 Dec 2019

KUALA LUMPUR: Enam persatuan mewakili penggiat seni tanah air mahu Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo; Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac serta ahli lembaga pengarah yang lain meletakkan jawatan.

Enam persatuan itu adalah Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA); Persatuan Sutradara Filem Malaysia (FDAM); Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN); Komuniti Filem Titiwangsa (KOMFIT); Pertubuhan Industri Kreatif Digital Malaysia (PIKDM) dan Persatuan Sinematografi Malaysia (MYSC).

Mengetuai kumpulan itu, Presiden PROFIMA, Khir Mohd Noor mendakwa pihak terbabit gagal menjalankan tugas dengan baik.

“Kami sepakat mendesak Gobind, Hans dan ahli lembaga pengarah FINAS yang lain meletakkan jawatan.

“Sikap acuh tidak acuh menteri terhadap masalah industri selain tidak mesra dengan penggiat seni membuatkan kami rasa jauh dan terpinggir,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Yang turut hadir, bekas Ketua Pengarah FINAS, Datuk Kamil Othman dan Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan.

Khir turut mendakwa Hans tidak menghormati penggiat seni apabila dikatakan ‘melenting’ tanpa sebab dalam pertemuan antara penggiat industri dan FINAS.

Khir juga meminta penjelasan mengenai status Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Ahmad Idham Ahmad Nadzri di mana dakwanya, menyebabkan banyak urusan di FINAS tertangguh sejak ketiadaannya.

Semalam, Hans ketika mengesahkan Ahmad Idham memendekkan kontrak perkhidmatan sehingga 10 Mac depan, menafikan ada konflik antara dirinya dan CEO FINAS itu.

Hans menjelaskan hubungan dengan Ahmad Idham adalah baik-baik, tanpa sebarang konflik.

Tambah Hans, andaian konon wujud konflik antara dirinya dan Ahmad Idham mungkin timbul daripada isu yang diperkatakan warganet selepas membaca kenyataan dibuat pelakon dan pengarah filem itu, sejak akhir-akhir ini.

Menjawab dakwaan konon dirinya ‘mengawal’ FINAS, Hans dilaporkan berkata, beliau tidak mempunyai kuasa eksekutif dalam perbadanan itu.

“Saya cuma melaksanakan tugas mengikut ketetapan ahli lembaga pengarah. Saya hanya menduduki dua jawatankuasa iaitu Festival Filem Malaysia (FFM) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)/Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang diusulkan saya sejak mula menyertai FINAS,” katanya.

Semalam, Ahli Lembaga Pengarah FINAS dilaporkan meluluskan permohonan Ahmad Idham untuk memendekkan tempoh kontrak perkhidmatan sebagai CEO kepada 10 Mac depan atas alasan peribadi.

Ahmad Idham dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, berkuat kuasa 11 Mac lalu

Ketika itu, pelantikan Ahmad Idham yang memiliki pengalaman lebih 25 tahun dalam industri kreatif, dilaporkan adalah bagi tempoh dua tahun.

Khir mengetuai enam persatuan mewakili penggiat seni membuat tuntutan pada sidang media di ibu negara, petang tadi. Foto NSTP Khairul Azhar Ahmad

Artikel oleh: Berita Harian

ENAM PERSATUAN PENGGIAT SENI BUAT TUNTUTAN

https://www.bharian.com.my/hiburan/lain-lain/2019/12/637340/enam-persatuan-penggiat-seni-buat-tuntutan

https://www.youtube.com/watch?v=6EL-ehXoHkM&feature=youtu.be