Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
GARDENIA HULUR BANTUAN RAMADAN – SINAR HARIAN – 05/05/2020
05 May 2020

GARDENIA Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia) bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) terus menghulurkan bantuan kepada isi rumah di bawah kategori B40 sepanjang bulan Ramadan.

Bagi meneruskan kelangsungan Program RM1 Juta Bantuan Covid-19 Gardenia, bantuan Ramadan bernilai RM167,000 akan diberikan kepada petugas barisan hadapan seperti penghantar makanan Grab dan pemandu teksi yang berusaha menawarkan perkhidmatan kritikal kepada komuniti.

Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awam Gardenia, Hazlinah Harun berkata, menerusi rangkaian kerjasama PPIM, PPZ-MAIWP dan Jawi, pihaknya mampu memperluas jangkauan Program Bantuan Covid-19 Gardenia kepada lebih banyak isi rumah yang memerlukan dan membantu meringankan beban petugas barisan hadapan.

“Kami berharap pek sumbangan Ramadan Gardenia ini akan membolehkan golongan kurang berkemampuan di bandar dan petugas perkhidmatan kritikal menikmati juadah secara mudah dan pantas ketika bersahur untuk permulaan hari atau semasa berbuka puasa di penghujung hari,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurutnya, Gardenia bersama PPIM menerusi Projek Zero Hunger akan mengedarkan sebanyak 10,000 pek sumbangan Ramadan Gardenia kepada isi rumah golongan B40 yang dikenal pasti di lima lokasi termasuk Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, Kuala Lumpur dan Rawang, Selangor.

“Bagi membantu Gardenia meluaskan jangkauan bantuan, PPZ-MAIWP akan mengedarkan sebanyak 300 pek sumbangan Ramadan Gardenia sebagai tanda penghargaan kepada barisan hadapan termasuk penghantar makanan Grab dan pemandu teksi.

“Setiap pek sumbangan Ramadan Gardenia mengandungi Ban Berinti Gardenia (Gardenia Fluffy Buns), Muffin Quick Bites, mi kuning Numee Gardenia dan sekotak kurma,” katanya.

Katanya, Gardenia juga menyediakan tambahan sumbangan sebanyak 5,000 Roti Krim Delicia dan Ban Sambal Bilis yang diedarkan bersama pihak Jawi di bawah inisiatif Jawi Food Bank kepada penduduk yang tinggal di Selangor Mansion, Malayan Mansion dan May Tower di sekitar kawasan Masjid India, Kuala Lumpur.

“Gardenia memperuntukkan lebih RM1 juta dalam bentuk bantuan khas buat masyarakat di seluruh Semenanjung Malaysia semasa dan selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sepanjang tempoh PKP bermula 18 Mac hingga 3 Mei, sebanyak 77,500 produk keluaran Gardenia yang bernilai kira-kira RM148,000 disumbangkan bagi tujuan membantu keluarga di bawah kategori B40, petugas barisan hadapan dan pelajar yang bergantung kepada Program Food Bank,” katanya.

Artikel oleh: Sinar Harian

GARDENIA HULUR BANTUAN RAMADAN

https://www.sinarharian.com.my/article/82010/KHAS/Ramadan/Gardenia-hulur-bantuan-Ramadan