Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
HARI PERTAMA KERJA, MANGSA TERTEKAN DIUGUT ALONG TERJUN TASIK – HARIAN METRO – 21/04/2021
22 Apr 2021

Kuala Lumpur: Hari pertama bertugas sebagai kakitangan Unit Banteras Ceti Haram (UBCH) Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memberikan pengalaman berharga buat Mohd Al Amin Zakaria.

Ini kerana, dia berdepan detik cemas apabila pengadu kes along nekad terjun ke Tasik Datuk Keramat di sini semalam selepas tertekan akibat diburu ceti haram.

Wanita berusia 29 tahun itu nekad terjun ke tasik ketika sedang dalam proses rundingan di pejabat PPIM yang terletak bersebelahan kawasan rekreasi itu.

Mohd Al Amin berkata, ketika kejadian, dia melihat wanita berkenaan meluru keluar dari pejabat PPIM ke arah jalan raya berhampiran.

“Saya terus mengejarnya sebelum dia berpatah balik ke arah tasik dan terjun. Melihat keadaannya hampir lemas di dalam lumpur, saya nekad terjun dan menariknya ke tebing sebelum dibantu rakan-rakan lain.

“Tak sangka pengalaman pertama di unit along, saya berdepan dengan situasi seperti ini. Saya hanya fikirkan keselamatan pengadu berkenaan pada waktu itu,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Kejadian itu mengundang situasi cemas dalam kalangan pengadu yang terkejut dengan tindakan wanita itu meluru keluar secara tiba-tiba.

Mohd Al Amin berkata, dia sebelum ini bertugas di bahagian khidmat pelanggan dan baru diberi tanggungjawab sebagai sekretariat UBCH yang dikendalikan panel dilantik, Satria Risk Mitigation Sdn Bhd.

Wanita berkenaan diserahkan kepada suaminya selepas diselamatkan dari tasik berkenaan.

Sementara itu, Konsultan Kanan Satria Risk Mitigation Sdn Bhd, Mirzan Johor berkata, pihaknya bersyukur kes berkenaan dapat dikendalikan dengan pantas kerana ia membabitkan nyawa.

Katanya, sebelum ini pihaknya berdepan beberapa keadaan cemas membabitkan pengadu kes along, namun cubaan bunuh diri seperti itu adalah yang pertama sejak mengendalikan kes berkaitan sejak lima tahun lalu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pengadu mengalami tekanan perasaan akibat ditekan along yang meminta bayaran semula pinjaman.

“Kita masih mengumpul maklumat mengenai jumlah pinjaman pengadu itu tetapi buat masa ini dia memang berdepan isu along.

“Justeru saya nasihatkan orang ramai di luar sana supaya lebih berhati-hati dengan sebarang bentuk tawaran pinjaman daripada ceti haram kerana ia akan mengundang masalah lain,” katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

HARI PERTAMA KERJA, MANGSA TERTEKAN DIUGUT ALONG TERJUN TASIK

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/04/697389/hari-pertama-kerja-mangsa-tertekan-diugut-along-terjun-tasik