Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
HELIZA TERUJA BERPELUANG BANTU MANGSA DI PALU – SINAR HARIAN – 14/10/18
15 Oct 2018

Sinar ( Heliza teruja berpeluang bantu mangsa di Palu ) 14.10.18

SEPANG – Bekas peserta Akademi Fantasia Musim kelima, Heliza Helmi tidak dapat menyembunyikan keterujaannya berpeluang menyertai misi bantuan kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) ke Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia.

Penyanyi dan pengacara terkenal itu berkata beliau bersyukur dipelawa pihak Mapim untuk menyertai misi kali kedua pertubuhan berkenaan kerana secara peribadi berasa begitu terkesan dengan nasib saudara seagama yang diuji dengan tragedi dahsyat gempa bumi dan tsunami pada petang 28 September lalu.

“Alhamdulillah hasrat untuk pergi sendiri ke lokasi tragedi itu tercapai dan saya akan sedaya upaya dengan kemampuan yang ada untuk membantu pihak Mapim mengedarkan pek bantuan kepada mangsa apabila tiba di sana.

“Penyertaan dalam misi ini juga pastinya akan memberi pengajaran tersendiri kepada saya,” katanya ketika ditemui Bernama selepas majlis pelepasan misi kemanusiaan Mapim ke Palu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.

Heliza, 32, yang turut ditemani adiknya, Nur Hazwani Afiqah Helmi, 21, juga berharap orang ramai terus memberikan bantuan kepada mangsa di Palu yang jelas memerlukan sokongan untuk memulakan kehidupan baharu.

Bagi rakan artis, Datuk Seri Eizlan Yusof yang mempunyai tauliah Leftenan Kolonel (Bersekutu) Angkatan Pertahanan Awam (APM), beliau juga berhasrat mengikuti misi bantuan kemanusiaan ke Palu.

“Sepatutnya saya menyertai misi ini, namun atas sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan, saya terpaksa tarik diri dan mungkin akan ke sana (Palu) dalam misi Mapim seterusnya,” katanya.

Gempa bumi dan tsunami yang melanda Palu setakat ini telah mengorbankan lebih 2,000 nyawa dengan lebih 30,000 lagi penduduk terkesan akibat tragedi berkenaan. – Bernama

 

Artikel Oleh : Sinar Harian

HELIZA TERUJA BERPELUANG BANTU MANGSA DI PALU

http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/heliza-teruja-berpeluang-bantu-mangsa-di-palu-1.891758#.W8NBHWk1ftI.whatsapp