Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
HENTIKAN MENUNDING JARI, PASTIKAN TRAGEDI TANAH RUNTUH RAGUT 31 NYAWA TIDAK BERULANG – KENYATAAN MEDIA PPIM – 24/12/2022
24 Dec 2022

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengucapkan salam takziah kepada waris mangsa kejadian tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali di sini pada Jumaat minggu lalu.

Mengambil kira sensitiviti kes dan ada maklumat masih belum jelas PPIM menggesa pihak berkuasa menyiasat kejadian tersebut tanpa sebarang prejudis terhadap mana-mana pihak.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi berkata, PPIM tidak mahu lagi alasan demi alasan diberikan kepada rakyat akhirnya kes tersebut sunyi begitu sahaja.

“Sudah banyak kali perkara begini berlaku, yang mengalami kerugian, yang cedera, yang meninggal rakyat, bukan pemimpin Negara! Sampai bila baru kerajaan ambil serius perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nadzim berkata pelbagai peraturan dan SOP yang ditetapkan pelbagai agensi dan pakar oleh seluruh negara, malah PPIM percaya pihak kerajaan juga pernah mendapatkan pandangan pakar luar negara berkenaan masalah tanah runtuh ini, namun apakah kesudahannya?

“Malaysia bukan negara miskin, kita negara membangun dengan pelbagai teknologi dan kepakaran, untuk perkara seperti ini berlaku amat menyayat hati,

“Benar, tanah runtuh bukan sesuatu yang boleh dijangka tapi kehilangan nyawa boleh dielakkan! Di manakah pihak berwajib yang dipertanggungjawab memastikan keselamatan cerun-cerun negara? Bukankah kita pernah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar,” katanya.

Nadzim turut mempersoalkan apa kesudahan Buku Panduan Penyelenggaraan Cerun untuk Orang Awam oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya pada 2011 dan apa status garis panduan Perancangan Pembangunan di Kawasan Bukit dan Tanah Tinggi 2010.

“Pelbagai kajian dilakukan, berapa juta duit rakyat sudah dihabiskan, sampai bila nak selindung di belakang birokrasi dan kesilapan orang awam, ambillah tanggungjawab dan bertindak segera sebelum lebih banyak nyawa rakyat yang menjadi korban,” katanya.