Masyarakat hari ini cenderung memilih ah long bagi menyelesaikan masalah kewangan dalam keadaan terdesak.

Menurut Pengarah Operasinya, \, individu itu yang merupakan seorang kakitangan bank terperangkap dengan jerat ah long pertama sehingga memaksa dirinya meminjam pula dengan ah long kedua, ketiga dan seterusnya sehingga mencecah 65 ah long.

“Pada mulanya, individu tersebut meminjam dengan ah long pertama sebanyak RM7,000. Dia berjanji membayar pinjaman itu dalam masa singkat setelah mendapat tuntutan semula insurans kemalangan berjumlah RM600,000.

“Mendengar jumlah itu, ah long tadi memulakan permainan mereka dengan meminta peminjam ini membayar dalam masa tiga hari selepas duit diberikan,” kata Azman Kang ketika ditemui Utusan Malaysia Sabtu baru-baru ini.

Azman berkata, setelah tiga hari, jumlah pinjaman RM7,000 tadi menjadi RM13,000.

Katanya, menyedari dia terdesak, peminjam tersebut mencari ah long yang lain untuk meminjam wang bagi membayar pinjaman kepada ah long pertama.

“Kesudahannya, jumlah kesemua ah long yang dipinjam menjadi 65 orang. Itu antara kes yang pernah unit kami kendalikan. Unit kami berbincang dengan kesemua ah long terbabit bagi membolehkan peminjam membuat pembayaran tanpa mengira kadar faedah pinjaman,” katanya.

Ada juga kes iaitu seorang peminjam meminjam dengan 41 ah long. Namun, hasil rundingan PPIM dan ah long terbabit, kes itu dapat diselesaikan dengan peminjam hanya membayar separuh daripada jumlah termasuk bunga yang sepatutnya dibayar kepada ah long.

Begitulah senario sebenarnya berlaku dalam masyarakat kita hari ini.

Meminjam dengan ceti haram atau ah long seolah-olah menjadi pilihan utama segelintir masyarakat dan Azman Kang mengakui tindakan itu semakin meningkat dari sehari ke sehari.

“Berdasarkan pengalaman kami, lima tahun lalu, hampir tiada aduan kes melibatkan pinjaman mencecah RM100,000 oleh peminjam.

“Tetapi pada tahun lalu dan tahun ini, jumlah pinjaman dibuat pengadu, ada yang mencecah jutaan ringgit,” katanya yang memberitahu ada kes melibatkan hutang ah long berjumlah jutaan ringgit berjaya diselesaikan.

Kata Azman Kang, selama 11 tahun unit banteras itu diwujudkan, mereka telah berurusan dengan ribuan ah long dalam usaha membantu menjadi orang tengah terhadap peminjam yang menjadi mangsa perangkap ah long.

Manakala jumlah pengadu yang datang ke unit itu tahun lalu sehingga kini pula mencecah 1,500 mangsa.

“Kami nasihatkan orang ramai, elakkan meminjam daripada ah long. Bagi yang sudah terjerat, datang temui kami untuk dibantu.

“Bukan bantuan kewangan tetapi kami menawarkan khidmat berunding dengan ah long agar peminjam dapat membuat pembayaran tanpa kadar bunga yang terlalu mencekik darah,” katanya.