Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
IBU BAPA, PENGUSAHA TASKA KENA CARI JALAN PENYELESAIAN – HARIAN METRO – 08/04/2020
08 Apr 2020

KERAJAAN harus mewujudkan satu polisi khusus supaya isu pembayaran yuran taska dan tadika swasta ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dapat ditangani secara berhemah tanpa membebankan mana-mana pihak.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia Datuk Nadzim Johan berkata, ketika ini pembayaran tertakluk kepada budi bicara pihak pengusaha industri terbabit.

“Kita akui ada terima aduan ibu bapa yang tidak berpuas hati isu ini, memanglah nampak macam tiada keadilan buat pengguna kerana sekarang hanya bergantung kepada budi bicara pengusaha.

“Tetapi oleh sebab tiada polisi untuk PKP ini, pembayaran tidak seragam, ada kena bayar penuh, ada yang tidak.

“Perkara ini perlu diselesaikan dengan baik, mungkin kerajaan perlu semak balik atau menetapkan satu polisi khusus supaya semua pengusaha boleh merujuk mekanisme itu sebagai panduan dalam mengenakan bayaran ketika PKP ini tanpa berat sebelah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, pengusaha industri terbabit jangan ambil kesempatan menekan ibu bapa dengan mengenakan bayaran tidak munasabah ketika PKP.

“Dari konteks kepenggunaan, kaedah yang adil dan betul adalah dengan membuat pengiraan semula dan menolak kos yang tidak digunakan seperti makanan, penggunaan elektrik serta air dan sebagainya kerana ibu bapa yang tanggung ketika ini.

“Kita maklum pengusaha terjejas kerana tidak beroperasi tetapi dalam keadaan ini perlu ada pertimbangan situasi menang-menang maknanya kos tidak digunakan itu sepatutnya ditolak daripada pembayaran penuh yuran bulanan,” katanya.

Menurutnya, pengusaha taska dan tadika juga boleh memanfaatkan peluang daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) (Tambahan) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

“Pengusaha boleh mengurangkan kos operasi ketika PKP dan menampung kelangsungan premis masing-masing dengan memohon subsidi upah dan inisiatif skim mikrokredit.

“Pengusaha juga boleh berbincang dengan pemilik premis (swasta) untuk mengurangkan kadar kos sewa bangunan, bayaran gaji penjaga atau pembantu taska dalam menghadapi keadaan sukar ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia Anisa Ahmad berkata, ibu bapa dan pihak taska saling memerlukan, justeru jika tiada bantuan daripada yuran ibu bapa, pendapatan pengusaha akan terjejas hingga mengakibatkan pusat berkenaan terpaksa ditutup.

“Dalam ‘handbook’ setiap taska swasta berdaftar, ada klausa menyatakan yuran hendaklah dibayar walaupun taska diarah tutup kerana bencana alam dan lain-lain.

“Kami faham dalam situasi sekarang ada ibu bapa diberhentikan kerja dan tiada pendapatan manakala yang bekerja terpaksa hantar anak ke pengasuh sementara dan bayar kos tambahan lagi untuk mengasuh anak tetapi mereka masih boleh berbincang dengan pengusaha.

“Namun, satu lagi kumpulan yang gaji jalan dan duduk rumah tidak bekerja, kami mohon bantulah pengusaha dengan membayar yuran secara penuh,” katanya.

Menurutnya, ramai pengusaha masih berdepan kesukaran memohon bantuan Prihatin PKS (Tambahan) diumumkan semalam berikutan yuran dikenakan di bawah paras keuntungan.

“Maka mereka memang tiada simpanan, nak bayar gaji pengasuh atau pendidik untuk Mac pun mereka bergantung kepada kutipan yuran April dan seterusnya.

“Jika Mac tak bayar lagi, macam mana hendak mohon subsidi upah? Jika PKP berlarutan lagi membimbangkan, mana nak cari duit bayar sewa premis atau bangunan kerana pengusaha tiada bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan rungutan ibu bapa mempertikaikan tindakan kebanyakan pengusaha taska dan tadika swasta yang mengenakan bayaran tidak munasabah walaupun tidak menghantar anak masing-masing ke pusat itu ketika PKP.

Artikel oleh: Harian Metro

IBU BAPA, PENGUSAHA TASKA KENA CARI JALAN PENYELESAIAN

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/04/563749/ibu-bapa-pengusaha-taska-kena-cari-jalan-penyelesaian