Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
INTERVENSI KES BELLA SELARAS AKTA BERKUATKUASA – BERITA HARIAN – 10/09/2021
10 Sep 2021

KUALA LUMPUR: Intervensi dilaksanakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam kes remaja sindrom down dikenali sebagai Bella selaras dengan akta yang sedang berkuatkuasa.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun, berkata ia antaranya bagi menyelamatkan kanak-kanak dan menempatkannya di tempat selamat, memberi perlindungan dan penjagaan selaras Akta Kanak-kanak 2001 dan Konvensyen Mengenai Hak kanak-kanak, menyita pusat jagaan serta membantu pihak berkuasa dalam penyediaan laporan sosial kanak-kanak.

Beliau berkata, pihaknya turut mengadakan pertemuan dengan Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memperjuangkan nasib Bella pada 9 September lalu.

“Antara NGO yang terbabit dalam pertemuan itu ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Wanita Ikon Malaysia, Persatuan Helping Shoulder, Pertubuhan Anti Diskriminasi dan Salah Laku serta Persatuan Pengguna Semboyan 1Malaysia.

“Sebagai Menteri yang bertanggungjawab menjaga kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak dan OKU, saya sentiasa mengikuti perkembangan kes adik Bella yang kini berada di bawah perlindungan, penjagaan dan pengawasan JKM.

“Wakil PDRM dan JKM juga sudah menjelaskan intervensi yang dilaksanakan dalam mengendalikan kes ini dan saya berharap kes adik Bella dapat diadili mengikut lunas perundangan yang sedang berkuatkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rina juga memohon orang ramai supaya segera membuat laporan kepada PDRM atau Talian Kasih 15999 dan Talian WhatsApp

019-2615999 yang beroperasi 24 jam apabila mengetahui atau mengesyaki apa-apa kes pengabaian dan penganiayaan terhadap kanak-kanak.

“Masyarakat juga diminta terus menanamkan rasa cintakan keluarga dan menghargai anak-anak, terutama anak OKU sebagai suatu amanah dan anugerah daripada Tuhan,” katanya.

Artikel oleh: Berita Harian

INTERVENSI KES BELLA SELARAS AKTA BERKUATKUASA

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/862114/intervensi-kes-bella-selaras-akta-berkuatkuasa