Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
IPTS PERLU TELUS URUS PINJAMAN PELAJAR – PTPTN – BH ONLINE – 4/1/2018
05 Jan 2018

Screen Shot 2018-01-05 at 10.26.06 AM

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mahu institut pengajian tinggi swasta (IPTS) lebih telus dalam menguruskan pinjaman pelajarnya.

Pengerusinya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata walaupun belum menerima aduan rasmi daripada pelajar yang mendakwa IPTS menyeleweng pinjaman PTPTN, pihaknya akan mengambil tindakan mengikut kuasa yang diperuntukkan.

“Secara rasmi PTPTN tidak menerima aduan daripada pelajar berkaitan isu yang dibangkitkan oleh PPIM (Persatuan Pengguna Islam Malaysia) dalam sidang media mengenai isu IPTS perdaya pelajar.

“Namun demikian kita pandang serius isu ini dan akan mengambil tindakan lanjut sesuai dengan bidang kuasa mengikut akta dan peraturan yang kita ada.

“Bagi PTPTN, sewajarnyalah IPTS mesti lebih telus dalam menguruskan perihal pelajar,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, pada sidang media hari ini, mendakwa ada IPTS memperdaya pelajar dan menyeleweng pinjaman PTPTN yang mereka uruskan.

Pada sidang media itu, PPIM mendedahkan seorang pelajar perempuan terpaksa menanggung bebanan hutang hampir RM70,000.00 gara-gara pemotongan bayaran ‘ghaib’ berasingan yang ditolak melalui pinjaman PTPTN bagi setiap semester oleh pihak kolej.

Shamsul Anuar berkata, PTPTN akan mengadakan perbincangan dengan IPTS dan pelajar berkenaan mengenai isu yang dinyatakan dalam tempoh terdekat selepas memperoleh maklumat lengkap mengenainya.

Katanya, PTPTN akan meneliti perkara ini bagi memastikan pelajar yang menerima pembiayaan mendapat pembelaan.

“Jika terbukti dan ada beberapa perkara yang berlaku itu di bawah bidang kuasa PTPTN, kita akan mengambil tindakan mengikut kuasa yang ada.

“Jika ia di bawah kuasa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) maka kita akan berbincang dengan mereka agar perkara ini diselesaikan,” katanya.

Artikel Penuh di https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/01/371121/ipts-perlu-telus-urus-pinjaman-pelajar-ptptn