Meskipun isu berkenaan bukanlah baharu di negara ini, namun tabiat tersebut semakin menjadi-jadi malah membahayakan pengguna jalan raya sehingga boleh menyebabkan kemalangan maut dan meragut nyawa.

Selepas ‘desakan demi desakan’ daripada Utusan Malaysia supaya satu pendekatan lebih sistematik dirangka bagi memberi pengajaran kepada pengguna jalan raya sekali gus mengurangkan kesalahan itu, kerajaan akhirnya mula memandang serius mengenainya.

Kerajaan membuat keputusan untuk memasukkan kesalahan penggunaan telefon bimbit ketika memandu ke dalam Sistem Kese­lamatan Kesedaran Automatik (AWAS) bermula tahun depan.

Bukan itu sahaja, kerajaan pada masa sama sedang mengkaji pemasangan teknologi baharu di setiap kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sebagai langkah penguatkuasaan untuk mengesan kesalahan pemandu yang menggunakan te­lefon bimbit ketika memandu.

Kedua-dua langkah drastik kerajaan itu diambil selepas hampir sebulan Utusan Malaysia menyiarkan pelbagai bentuk laporan berserta bukti bergambar penggunaan telefom bimbit ketika memandu kereta dan menunggang motosikal.

Kerajaan khususnya pihak berkuasa sememangnya wajar memberi perhatian serius terhadap isu ini kerana kelalai­an penggunaan telefon bimbit ketika memandu seolah-olah memperjudikan nyawa.

Seperti kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan tabiat pengguna jalan raya menggunakan telefon bimbit ketika memandu kereta atau menunggang motosikal boleh mendatangkan kesan buruk yang lebih cepat daripada pe­nyalahgunaan dadah.

Hakikatnya, penggunaan te­lefon bimbit ketika memandu ini sudah menjadi trend yang amat membimbangkan.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), seba­nyak 40,125 saman melibatkan penggunaan telefon bimbit ketika memandu dicatatkan di seluruh negara dalam tempoh sembilan bulan tahun ini de­ngan purata 148 saman sehari.

Kepekaan kerajaan dan pihak berkuasa memandang serius isu dibawa Utusan Malaysia amat dihormati tetapi yang lebih penting rancangan penguatkuasa seperti dirangkakan dapat dilaksana dengan efisien bagi mengatasi masalah ini.