Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM, Muhammad Yusuf Azmi berkata, perkara tersebut amat luar biasa kerana mengikut kebiasaan apabila ansuran kereta tertunggak tiga bulan, pihak bank telah memulakan usaha menarik kereta berkenaan.

“Saya tidak faham mengapa bank yang mempunyai kuasa mengarahkan ejen penarik kereta gagal mengambil kereta daripada syarikat ini sedangkan mengikut perjanjian sewa beli kenderaan ini masih di bawah bank. Sepatutnya ini tidak harus berlaku.

“Kita melihat mereka (syarikat skim pajakan kereta) dilindungi oleh ejen penarik kereta, lesen mereka seharusnya ditarik. Tetapi syukur dengan bantuan polis, sokongan media dan aktivis kita berjaya mengambil 56 buah kereta bersama mangsa yang merupakan pemilik kenderaan itu,” katanya kepada Utusan Online hari ini.

Beliau mengulas usaha membantu mangsa skim pajakan kereta, yang memaksa Yusuf Azmi bersama ahli PPIM terpaksa mengambil masa hampir 25 jam mengeluarkan semua kenderaan milik mangsa di sebuah premis perniagaan di Kajang.

Mengulas lanjut, Muhammad Yusuf berkata, syarikat tersebut masih lagi menyimpan kira-kira 1,444 buah kereta yang masih belum dapat dipastikan di manakah lokasi kenderaan itu disembunyikan.

Katanya, usaha semalam berhasil apabila sebanyak 54 buah kereta berjaya dipindahkan dari premis tersebut ke kawasan perumahan berhampiran sebelum dituntut oleh pemilik kereta masing-masing.

Beliau menambah, persatuan itu telah membuat laporan di balai polis berdekatan berhubung insiden di gudang kereta berkenaan, awal pagi tadi.

Beliau turut meminta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani supaya memandang serius perkara ini bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku di antara persatuan, pemilik dan syarikat pajakan kereta.

“Kertas siasatan juga harus dibuka kerana laporan polis sudah dibuat sebanyak tiga kali. Persatuan tiada sebarang kuasa tetapi sudah menjadi tanggungjawab kita untuk mengembalikan hak dan maruah pengguna dengan bijaksana,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/video-isu-kereta-pajak-ppim-persoal-tindakan-bank-1.501596#ixzz4mafw0NXb
© Utusan Melayu (M) Bhd