Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
ISU KWSP DISUARA SEGERA KEPADA KERAJAAN – UTUSAN MALAYSIA – 17/01/2022
18 Jan 2022

PETALING JAYA: Isu pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan kesan sampingan dos ketiga vaksin Covid-19 antara masalah yang akan dibangkitkan UMNO kepada kerajaan dengan segera.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau memahami tujuan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mencari UMNO sebagai saluran menyuarakan keluhan kerana disebabkan persepsi Perdana Menteri daripada UMNO dan parti kerajaan yang mendukung segala-galanya.

Beliau menjelaskan, kemungkinan NGO-NGO terlibat telah putus harapan terhadap saluran sedia ada sehingga mencari saluran politik untuk suara rakyat didengari. 

“Saya mengalu-alukan kehadiran NGO terbabit dan bagi saya, kerajaan harus mendengar pandangan-pandangan NGO ini. Jangan menolak terus kerana pasti ada asas tentang keprihatinan mereka membawa suara rakyat suara keramat. 

“Dengar, berbincang dan lakukan yang terbaik untuk rakyat, bukan menyanggah dan kemudian mengeluarkan arahan berbeza-beza.

“Saya dan rakan-rakan kepimpinan UMNO akan membawa perkara diketengahkan NGO terbabit secepat mungkin kepada kerajaan. Ini bukan mainan politik kerana dalam keadaan apa sekali pun UMNO akan tetap mengutamakan dan memihak kepada rakyat,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

AHMAD ZAHID HAMIDI

Terdahulu, Ahmad Zahid memaklumkan beliau dikunjungi ketua dan wakil NGO termasuk Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang menyuarakan kebimbangan, keresahan dan kerisauan tentang beberapa isu yang sedang dihadapi rakyat.

Katanya, antaranya berhubung pengeluaran wang KWSP bagi membantu masyarakat yang masih berdepan dengan tekanan ekonomi.

“Mereka turut menyuarakan tentang isu kesan sampingan dos ketiga vaksin Covid-19 yang rata-rata penerima mengalaminya. Begitu juga dengan kewajaran pemberian vaksin kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

“Turut dibangkitkan tentang pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Ini satu pindaan untuk menaikkan nilai kompaun sehingga RM10,000 yang dikhuatiri akan menambah penderitaan rakyat,” katanya.

Artikel oleh: Utusan Malaysia

ISU KWSP DISUARA SEGERA KEPADA KERAJAAN

https://www.utusan.com.my/nasional/2022/01/isu-kwsp-disuara-segera-kepada-kerajaan/