Timbalan Perdana Menteri berkata, mereka perlu berjaga-jaga dengan risiko penyebaran wabak penyakit termasuk malaria yang bakal menular di kawasan terjejas.

“Kebiasaannya, penyakit seperti malaria akan melanda selepas berlaku bencana seperti gempa bumi. Kita berharap perkara ini dapat dikawal oleh kita di sana.

“Saya mendoakan semoga Allah memberikan kita semua keselamatan di sana,” katanya ketika berucap pada majlis Pelepasan Misi Bantuan Kecemasan Sulawesi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Misi kali kedua itu yang bermula hari ini hingga 25 Oktober depan itu melibatkan 41 sukarelawan termasuk dari Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Beberapa doktor dan pendakwah juga turut menyertai misi berkenaan bagi tujuan penyembuhan trauma (trauma healing) selain penglibatan media serta selebriti tempatan.

Kumpulan itu antara lain membawa 3,000 kotak makanan untuk diagihkan kepada 3,000 keluarga selain pek-pek barang kebersihan diri, kelengkapan solat serta barangan bayi seperti bekalan susu dan lampin.

Yang turut hadir, ketua misi, Dr. Ahmad Sani Araby Al Kahery.

Baru-baru ini, Pulau Sulawesi telah dilanda tragedi gempa bumi dan tsunami besar yang mengorbankan lebih 2,000 penduduk serta menyebabkan kehilangan kira-kira 152,000 orang.

Dalam pada itu, Dr. Wan Azizah turut menzahirkan kekaguman beliau terhadap ketabahan serta komitmen pihak NGO yang memberi bantuan di kawasan terjejas.

Katanya, ini kerana bukan calang-calang orang boleh menghadapi risiko dan cabaran seperti yang melanda di kawasan tragedi.

“Semoga ini dapat mengharumkan nama Malaysia dan hasrat kita kerana Allah, jadi kita harapkan keredhaan Allah untuk bantuan ini sampai kepada jiran tetangga terdekat kita,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Ahmad Sani Araby berkata, pihaknya telah mengumpulkan sebanyak RM500,000 hasil sumbangan dari orang ramai dan ia telah diserahkan pada misi pertama sebelum ini.

“Sasaran kita tidak sampai kerana kita sebenarnya menyasarkan sebanyak RM1.2 juta untuk bantuan kecemasan. Jadi kita harap rakyat bersama Mapim dengan menghulurkan bantuan menerusi laman web www.rayuansulawesi.com, “ katanya. – UTUSAN ONLINE