Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
JAKIM PERLU PERKETAT PENGGUNAAN LOGO HALAL MALAYSIA – PPIM – BERITA HARIAN – 15/12/2020
15 Dec 2020

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memperketatkan penggunaan logo Halal Malaysia.

PPIM dalam satu kenyataan berkata, langkah tegas itu termasuk dalam segala proses pengiktirafan, pengesahan dan semua hal berkaitan import barang termasuk daging yang menjadi kontroversi baru-baru ini.

Katanya, ia susulan penemuan sejumlah daging import yang diberi label halal di sebuah gudang di Johor Bahru baru-baru ini sehingga menjadi kebimbangan sama ada ia berada di pasaran atau tidak.

“Lebih mengejutkan apabila tiada agensi kerajaan dapat mengesan aktiviti ini walaupun ia satu operasi besar.

“Sehingga kini tiada sebarang tangkapan dibuat oleh pihak berkuasa berkaitan dengan perbuatan itu,” kata PPIM dalam satu kenyataan hari ini.

Media pada 3 Disember lalu melaporkan taktik kartel menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina, sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal palsu.

Kartel terbabit kemudian menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia dan aktiviti itu dikesan dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai, Johor.

Dalam serbuan itu, sebanyak 1,500 tan daging sejuk bernilai RM30 juta disita.

Sementara itu, PPIM menyeru Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar lebih berhati-hati dan proaktif menangani isu berkenaan.

“PPIM juga mendesak agar Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) turun padang dan mengesan apa juga bentuk rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa di setiap titik kritikal logistik, pentadbiran dan pengurusan pengimportan daging luar ini,” katanya.

Artikel oleh: Berita Harian

JAKIM PERLU PERKETAT PENGGUNAAN LOGO HALAL MALAYSIA – PPIM

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/12/765349/jakim-perlu-perketat-penggunaan-logo-halal-malaysia-ppim