Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
JANA EKONOMI LEBIH BAIK – UTUSAN MALAYSIA – 04/10/2019
04 Oct 2019

PENTING untuk masyarakat Islam bersatu dalam ummah serta berlandaskan ajaran Islam sebenar demi mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), Dr. Rosli Yaakop berkata, bidang ekonomi menurut konteks Islam adalah luas dan amalan berniaga dalam Islam telah lama berlangsung sejak zaman berzaman.

Katanya, Islam tidak menghalang umatnya berniaga, namun menegah sama sekali amalan riba.

“Berniaga atau menjalankan aktiviti ekonomi merupakan fardu kifayah kepada umat Islam, namun hukum ini jatuh ‘wajib’ pada zaman sekarang demi melindungi kepentingan umat Islam itu sendiri dan menjaga isu halal yang merupakan kewajipan perlu ditunaikan.

“Selain itu, menjadi kewajipan untuk kita memastikan isu pembiayaan perniagaan juga diperoleh daripada sumber halal meskipun masih tidak mendapat sijil halal sekali gus jauh daripada aspek riba yang merupakan musuh nombor satu dalam ekonomi Islam,” katanya.

Mengulas lanjut, Rosli mengakui umat Islam masih berpecah umpama kaca jatuh atas batu dan ekonomi dunia masih dikuasai oleh bukan Islam meskipun sumber asal hasil bumi dari negara Islam.

Tegasnya, kesatuan akan hanya dapat dicapai sekiranya punca utama kesatuan itu iaitu takwa dapat ditanam dalam hati umat Islam dengan sebaik mungkin.

Jelasnya, takwa merupakan penyelesaian utama, malah barisan pemimpin yang bertakwa akan mewujudkan sebuah ummah yang bersatu dan tidak berpecah belah.

EKONOMI PATUH SYARIAH

Sehubungan itu katanya, peranan utama dan tumpuan Yapeim adalah membentuk sebuah ekonomi yang patuh syariah serta memerangi riba.

Katanya, menerusi pelaksanaan mikro kredit berasaskan Islam iaitu Ar Rahnu, Yapeim menjalankan urusan pajak gadai Islam bagi membantu usahawan kecil-kecilan yang memerlukan modal perniagaan.

Pada masa ini menurutnya, kira-kira 700,000 penggadai aktif berurusan dengan Ar Rahnu dan daripada jumlah itu 135,000 menggunakan perkhidmatan tersebut sebagai pembiayaan perniagaan masing-masing.

“Mereka daripada kumpulan usahawan Islam ini mendapat sumber kewangan bagi memulakan perniagaan tanpa dikenakan riba daripada sistem pengurusan Ar Rahnu. Kelebihan ini membuatkan mereka berjaya dalam perniagaan kerana tidak mengamalkan riba.

“Kelebihan Ar Rahnu juga bagi membantu golongan masyarakat yang ditolak oleh syarikat perbankan untuk membuat pinjaman. Mereka boleh membuat gadaian di Ar Rahnu yang melayakkan mereka mendapat pinjaman sehingga 80 peratus wang tunai daripada hasil gadaian,” katanya.

Selain itu Rosli berkata, Yapeim mempunyai platform dalam talian yang mengumpulkan sebahagian besar usahawan Muslim untuk berniaga secara dalam talian menerusi YaPEIM Online Bazar.

Jelasnya, selain membantu kumpulan peniaga atas talian itu memperelokkan urusan pembungkusan, meluaskan pasaran serta menawarkan khidmat nasihat, platform tersebut turut mengumpul profil usahawan daripada pelbagai sektor perniagaan.

“Orang ramai boleh mendaftar secara percuma dengan Yapeim dan kami akan membantu usahawan Muslim menjual produk dan barangan mereka atas talian. Kita berusaha membantu mereka mengembangkan perniagaan menjadi lebih besar,” katanya.

Dalam majlis sama, PPIM turut melancarkan Iqra’ For Change (IFC) bagi memberi inspirasi dan mendorong umat Islam memahami makna serta kandungan al-Quran secara lebih mendalam.

IFC boleh dilayari menerusi laman web www.iqraforchange.com yang mengandungi perincian yang padat terutama terjemahan al-Quran dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebagai rujukan bermanfaat.

Artikel oleh: Utusan Malaysia

JANA EKONOMI LEBIH BAIK

https://www.utusan.com.my/jana-ekonomi-lebih-baik-1.980758