Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
JANGAN BERI PELUANG KEDUA PIHAK SALAH GUNA AP – MALAYSIA GAZETTE – 08/09/2019
11 Sep 2019

KUALA LUMPUR – Pihak yang menyalahgunakan Lesen Import (AP) tidak seharusnya diberi peluang kedua dan lesen mereka perlu ditarik balik sebagai amaran kepada orang lain.

Penganalisis jenayah, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, Malaysia boleh menyelamatkan berbilion ringgit dengan menguatkuasakan undang-undang yang ketat, selain permit tidak diberikan kepada orang yang sama pada masa akan datang supaya tidak ada pihak berani melakukan jenayah itu.

“Tarik balik (AP), letak ‘noktah’ dan jangan bagi balik. AP ini selalunya dijual, kita patut beri kepada usahawan yang benar-benar nak lakukan tugas dan tidak melakukan kesalahan dari segi undang-undang.

“Kita kena tegas mengenai cukai sebab orang yang import kereta, mereka kaya, ada AP… dah lah free. Kemudian untung lagi banyak, lagi nak tipu. Ini perkara tidak bagus dan sepatutnya bagi syarikat yang menyeleweng, MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) patut tarik balik AP tu,” katanya kepada Bernama.

Beliau turut mencadangkan kerajaan mempertimbangkan untuk menambah bajet untuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi membolehkan jabatan itu mempunyai teknologi yang canggih.

“Kadangkala sindiket ni ada alat yang lebih canggih daripada kita. Juga pastikan tempat kerja Kastam dari segi tempat operasi itu supaya lebih sesuai (kerana) itu boleh beri perangsang dan menyebabkan mereka bertugas dengan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata Kastam perlu melakukan semakan semula dengan terperinci dokumen tertentu bagi memastikan ia sah.

“Maknanya dia (penguatkuasa) kena gabung dengan sistem supaya tidak diambil kesempatan oleh sindiket yang biasa dan pandai berkaitan isu AP, isu cukai dan berbagai lagi.

“Mungkin kena ada semakan semula, contohnya macam IC (kad pengenalan), IC memang boleh buat tetapi apabila disemak secara dalam talian bukan nama sebenar dan macam-macam lagi,” katanya.

JKDM dilaporkan berjaya menumpaskan cubaan menyeleweng dokumen pengimportan 21 kereta mewah bernilai RM12.2 juta dalam dua serbuan berasingan di Shah Alam, Selangor pada 29 Mei lepas.

Timbalan Ketua Pengarah JKDM Datuk Azimah Abd Hamid berkata rampasan terbesar di Lembah Klang untuk tahun ini itu melibatkan enam Lamborghini Huracan, Toyota Velfire (tujuh); Toyota Estima (empat); Mercedes Benz (dua); dan masing-masing sebuah BMW dan Toyota Alphard.

Beliau berkata, kesemua kenderaan itu didapati mengikrar tarikh pengilangan tidak benar sedangkan mengikut lesen ditetapkan, MITI mensyaratkan pengimportan kereta terpakai hanya dibenarkan bagi kereta berusia satu hingga lima tahun. – MalaysiaGazette

Artikel oleh: Malaysia Gazette

JANGAN BERI PELUANG KEDUA PIHAK SALAH GUNA AP

https://malaysiagazette.com/2019/09/08/jangan-beri-peluang-kedua-pihak-salah-guna-ap/