Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
JANGAN JADIKAN TAHFIZ PUSAT PEMULIHAN AKHLAK – MALAYSIA GAZETTE – 16/11/2019
18 Nov 2019

MELAKA – Ibu bapa perlu melihat dan menghormati institusi tahfiz sebagai pusat pembelajaran Al-Quran dan ilmu agama, bukannya sebagai pusat pemulihan akhlak bagi remaja bermasalah dan gagal dikawal.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata ibu bapa tidak sepatutnya melepaskan tangungjawab menjaga anak yang bermasalah kepada pihak lain dengan menghantar mereka yang sukar dibentuk itu ke sekolah tahfiz, bagi memperbetulkan akhlak mereka.

“Institusi tahfiz adalah institusi pembelajaran ilmu Al-Quran, justeru ibu bapa sepatutnya menghantar anak-anak mereka bagi tujuan mendalami ilmu tersebut, dan bukan untuk menyelesaikan masalah anak yang tidak dapat dikawal.

“…dan apabila hantar anak ke institusi tahfiz atau sekolah berasrama penuh, ibu bapa sebagai orang yang paling dekat dengan anak-anak, buatlah pemantauan dan jangan serah tanggungjawab bulat-bulat kepada ustaz atau guru,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Turut berkongsi pendapat, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Kamal Affandi Hashim berkata ibu bapa perlu membetulkan niat dan tujuan, kenapa mereka menghantar anak ke institusi tahfiz.

“Kalau niatnya untuk melepaskan tanggungjawab setelah gagal membentuk anak atau untuk tujuan bermegah-megah ‘anak saya masuk tahfiz’.…saya nasihatkan agar ibu bapa yang berfikiran demikian membatalkan sahaja hajat mereka itu.

“Ini kerana institusi tahfiz adalah pusat ilmu bagi melahirkan insan yang cemerlang dalam ilmu dunia dan akhirat,” katanya.

Beliau berkata ibu bapa yang mengambil jalan mudah melepaskan tanggungjawab mendidik anak kepada orang lain, dengan menghantar anak mereka ke institusi tahfiz boleh dikenakan tindakan udang-undang di bawah bawah Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2011, kerana mengaibaikan anak-anak.

Kamal Affandi menasihati ibu bapa memilih institusi tahfiz yang berdaftar dengan pihak berkuasa, dengan membuat semakan terlebih dahulu, terhadap taraf sekolah terbabit.

“Jangan hanya dengar cakap-cakap orang bahawa sekolah itu bagus, sekolah ini kurang bagus. Sebaliknya saya nasihatkan ibu bapa menilai sekolah tersebut terlebih dahulu, sebelum membuat keputusan,” katanya.

Selain itu Kamal Afandi berkata pihak pengurusan sekolah tahfiz juga perlu mengambil tindakan proaktif, termasuk membuat saringan polis sebelum mengambil tenaga pengajar, supaya tidak terambil mereka yang bermasalah ataupun mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, selain mengadakan saringan, pihak pengurusan sekolah tahfiz juga perlu melakukan pemeriksaan berkala atau pemeriksaaan mengejut kepada tenaga pengajar, selain daripada mengadakan perbualan dengan pelajar bagi mengesan masalah.

— BERNAMA

Artikel oleh: Malaysia Gazette 

JANGAN JADIKAN TAHFIZ PUSAT PEMULIHAN AKHLAK 

https://malaysiagazette.com/2019/11/16/jangan-jadikan-tahfiz-pusat-pemulihan-akhlak/