Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
JANGAN MAKAN AYAM – HARIAN METRO – 19/05/2020
19 May 2020

Boikot pembelian ayam. Itu cadangan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pengguna dalam usaha memberi kesedaran kepada industri supaya tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya.

Dengan cara itu, isu kenaikan harga yang berlaku saban tahun ketika musim perayaan dapat diselesaikan secara berperingkat.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, biarpun seruan memboikot pembelian ayam atau apa juga barangan yang sering mengalami kenaikan harga boleh diibaratkan sebagai ‘siaran ulangan’, ia usaha yang praktikal membetulkan keadaan.

Katanya, tidak munasabah sama sekali harga ayam naik lebih RM2 bagi sekilogram ketika harga minyak dan barangan lain turun selaras dengan perubahan harga pasaran semasa.

“Kita tahu, bukan mudah untuk ajak pengguna boikot beli ayam ketika musim perayaan ini. Tetapi kita di PPIM perjuangkan isu ini kerana perlu ada pendekatan untuk memberi pengajaran kerana tiada asas kenaikan ini.

“Hanya dengan boikot boleh menentukan bahawa pihak peniaga atau pun pemborong lebih bertimbang rasa kepada pengguna,” katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, tindakan boikot juga satu pilihan yang ada namun perlu dipastikan bertahan dalam waktu yang lama.

Katanya, mekanisme itu antara boleh dilakukan ketika pengguna sering menjadi mangsa peniaga yang rakus menaikkan harga.

“Satu lagi, kerajaan boleh jadikan ayam ini sebagai bahan kawalan sepanjang tahun bagi mengelakkan harganya dinaikkan sesuka hati.

“Pengguna ada pilihan, jadi kita perlu gunakan pilihan itu dengan betul. Kuasa pengguna juga boleh menentukan keadaan pasaran,” katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

JANGAN MAKAN AYAM