Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
JERAT DATA PERCUMA – HARIAN METRO – 18/02/2020
18 Feb 2020

SASARAN sindiket ini adalah golongan penuntut institut pengajian tinggi yang teruja dengan tawaran panggilan telefon dan data Internet percuma selama dua tahun.

Malah, mangsa yang bersetuju dengan pakej ditawarkan bakal menerima tambahan RM100 selepas memberikan maklumat peribadi diperlukan.

Malangnya, semua itu hanya penipuan terancang apabila mangsa sebaliknya ditimpa bala selepas menerima bil tunggakan bagi pakej telefon tidak diketahui.

Malah, ratusan mangsa turut menerima surat tuntutan daripada firma guaman kerana didakwa gagal membayar ansuran berjumlah antara RM4,500 hingga RM5,600 selepas enam bulan diperdaya sindiket.

Terbaru, berpuluh mangsa tampil di Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bagi membuat aduan selepas laporan polis berhubung kejadian itu turut dilakukan.

Rata-rata mereka berdepan risiko disenarai hitam selepas nama mereka digunakan untuk mendaftarkan pakej syarikat telekomunikasi menyebabkan kerugian terkumpul RM1 juta.

Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Salman, 22, berkata, dia terpedaya selepas mengenali dua lelaki yang menawarkan rangkaian telekomunikasi meliputi data dan panggilan percuma dua tahun.

Dia yang ketika itu menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Ipoh, Perak tertarik dengan pakej ditawarkan berikutan tidak perlu membuat sebarang bayaran.

Katanya, selepas bersetuju mendaftar pakej percuma itu, dia dan 40 lagi rakan diberikan hadiah RM100 setiap seorang dan pek sim pascabayar.

“Namun kami dipecahkan kepada beberapa kumpulan sebelum diarah pergi ke beberapa cawangan pusat telekomunikasi di Ipoh.

MANGSA penipuan ejen yang menawarkan pascabayar telekomunikasi secara percuma membuat aduan kepada PPIM. FOTO HAFIZ SOHAIMI

“Kami diarah mengambil telefon pintar di premis berkenaan sebelum diarah menyerahkannya kepada ejen sindiket.

“Ketika itu kami dijanjikan semua komitmen bulanan dibayar ejen manakala kami boleh guna rangkaian tanpa had itu percuma untuk tempoh dua tahun. Bagaimanapun, selepas enam bulan, tiba-tiba kami menerima notis tunggakan bil berjumlah lebih RM5,000 setiap seorang.

“Apabila ditanya kepada ejen, dia beri pelbagai alasan termasuk perlu mendapatkan maklumat daripada pengurusan sebelum gagal dihubungi.

“Kami khuatir bagaimana dengan masa depan kami jika disenarai hitam kerana gagal membayar tunggakan itu,” katanya selepas membuat aduan kepada aktivis PPIM Dr Mazlina Abu Bakar.

Seorang lagi mangsa yang mahu dikenali sebagai Zati, 22, berkata, dia bersama lebih 100 rakannya yang menuntut di pusat pengajian di Johor Bahru diperdaya ejen yang menawarkan kerja sambilan jika mendaftar pakej rangkaian syarikat telekomunikasi berkenaan.

Menurutnya, mereka hanya perlu mendaftar dengan rangkaian telekomunikasi lain terlebih dahulu sebelum menukar pelan bagi mendapatkan telefon pintar percuma dijanjikan.

“Bagi setiap pendaftaran, kami dapat imbuhan antara RM85 ke RM100.

“Beberapa bulan kemudian kami terkejut apabila terima bil telefon mencecah RM5,000. Kami panik kerana tiada wang sebanyak itu,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Danga Bay, Johor Bahru.

Artikel oleh: Harian Metro

JERAT DATA PERCUMA

https://www.hmetro.com.my/utama/2020/02/545668/jerat-data-percuma